mutakhir

PM diberi sambutan rasmi di Istana Presiden Rashtrapati Bhavan

Oleh BERNAMA

New Delhi: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diberi sambutan rasmi di Istana Presiden Rashtrapati Bhavan, di sini, semalam sempena kunjungan rasmi enam hari beliau ke India.

Diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa menteri Kabinet, Najib tiba di Istana Presiden jam 9 pagi dan disambut rakan sejawatan beliau, Narendra Modi.

Perdana Menteri memeriksa perbarisan hormat Angkatan Tentera India sebelum diperkenalkan kepada menteri Kabinet negara ini.

Dalam kenyataan ringkas kepada media, Najib dengan Modi di sebelahnya berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri India atas jemputan yang diberi dan tidak sabar melakukan kunjungan ke India.

“Saya yakin lawatan ini membawa hubungan dua hala sedia ada ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Najib meletakkan kalungan bunga di Gandhi Smriti, Raj Ghat, pusara negara, di mana Bapa Negara India Mahatma Gandhi disemadikan pada 31 Januari 1948 berikutan pembunuhannya.

Selepas itu, Perdana Menteri melakukan kunjungan hormat terhadap Presiden India Pranab Mukherjee dan Naib Presiden Mohammad Hamid Ansari.

Lawatan Najib mencerminkan kekukuhan hubungan dua hala yang terjalin antara kedua-dua negara sejak 60 tahun lalu.

Ia lawatan ketiga Najib ke India sejak beliau menyandang jawatan Perdana Menteri pada 2009.

Lewat hari ini, Perdana Menteri mengadakan mesyuarat terhad dengan Modi dan mesyuarat dua hala dengan anggota kanan delegasi kedua-dua negara.

Antara isu dijangka menjadi topik perbincangan pada mesyuarat dua hala itu ialah pelaburan, projek infrastruktur, kerjasama pertahanan, aturan perkhidmatan udara, pelancongan dan hubungan budaya serta isu bersama berkaitan kerjasama antarabangsa dan serantau.

Najib tiba di Chennai, bandar raya di selatan India pada Khamis dan menghadiri majlis sambutan rasmi yang dihoskan Pemangku Gabenor Tamil Nadu Vidhyasagar Rao yang mengadakan mesyuarat dengan masyarakat peniaga dan bertemu bintang filem terkenal Tamil, Rajinikanth.

Selain mesyuarat dua hala, Najib juga menghadiri sesi dialog dengan pemimpin dan peneraju industri dalam sektor perniagaan utama India.

Beliau dijadual meneruskan perjalanan ke Jaipur untuk menghadiri perbincangan mengenai pencapaian syarikat Malaysia dalam projek infrastruktur di Rajasthan.

Perdana Menteri dijadual menghadiri majlis makan tengah hari perniagaan dan Mesyuarat Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) Ke-7 di ibu negara India, esok sebelum merasmikan Kompleks Baru Suruhanjaya Tinggi Malaysia Selasa ini.

Disiarkan pada: April 2, 2017 @ 5:11am
d