mutakhir

Jualan RM2.5j

Pengurus Runcit, Pengurusan Inventori dan Peralatan MPH Bookstore N Vijayan berkata, seperti edisi penganjuran sebelumnya, segmen buku kanak-kanak mendahului corak pembelian pelanggan.

Beliau berkata, biarpun tidak semeriah edisi 2016, pihaknya melihat kuasa membeli pelanggan meningkat tahun ini disebabkan diskaun tinggi yang ditawarkan bagi setiap buku yang dijual.

“Tahun ini, kami tawarkan diskaun sehingga 70 peratus dan ia ternyata memikat hati pelanggan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, pesta buku ini sudah memasuki tahun keempat penganjuran dan ia amat dinantikan pelanggan setiap tahun.

Vijayan berkata, biarpun tidak mendapat kunjungan memuaskan pada hari pertama, pesta buku berkenaan menerima kunjungan luar biasa pada hujung minggu terutama pada Sabtu dan Ahad.

Menurutnya, pihaknya juga akan terus mengekalkan keunikan penganjuran bertemakan ‘Bookerville Carnival’ iaitu berlatar belakang Bandar Buku Penuh Magis.

“Pengunjung suka pada konsep karnival kerana ia menghimpunkan pelbagai aktiviti sampingan yang menepati cita rasa semua peringkat umur,” katanya.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati, orang ramai terutama penduduk di sekitar Putrajaya, Cyberjaya dan Puchong tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi hari terakhir PIBF’17, semalam.

PIBF’17 yang berlangsung pada Rabu lalu dan berakhir semalam itu menawarkan diskaun sehingga 70 peratus selain tawaran ‘beli satu percuma satu’ dan belian jimat dengan harga serendah RM8.

Disiarkan pada: April 3, 2017 @ 9:28am
d