mutakhir

Tibi terus meningkat

Oleh Ardyhansah Amat

Kuala Lumpur : Sebanyak 1,903 kes tibi atau batuk kering dilaporkan berlaku di wilayah ini membabitkan 73 kematian, sepanjang tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr Zainudin Abdul Wahab berkata, jumlah itu meningkat 4.6 peratus atau 84 kes berbanding 1,819 kes tibi pada tahun 2015.

“Daripada jumlah itu, hanya 311 kes atau 16 peratus membabitkan kes warga asing, manakala selebihnya atau 84 peratus lagi kes rakyat tempatan.

“Sekali gus menunjukkan penyakit ini bukan lagi perkara yang boleh dianggap ringan oleh orang ramai, apatah lagi ia boleh merebak melalui udara,” katanya selepas majlis pelepasan KL Fun Run TB, di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Perancangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Mohd Najib Mohd yang mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pagi Tanpa Kenderaan Kuala Lumpur Datuk Naim Mohamad.

Keadaan hujan renyai-renyai tidak menghalang kira-kira 1,000 orang menyertai acara larian itu yang diadakan sempena sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, semalam.

Menurut Zainuddin, tibi yang dahulunya sinonim dengan golongan tua, kini turut dilaporkan berlaku ke atas kanak-kanak berusia di bawah 15 tahun.

“Seramai 41 kes kanak-kanak yang berusia di bawah 15 tahun didaftarkan menerima rawatan sebagai pesakit tibi.

“Oleh itu, situasi ini cukup membimbangkan kerana kanak-kanak terbabit mendapat kuman tibi daripada orang dewasa yang tinggal serumah, menunjukkan penularan penyakit itu tanpa kawalan sepenuhnya,” katanya.

caption:

1. ANTARA peserta KL Fun Run yang hadir dengan kostum unik dan tersendiri bagi menyokong usaha kerajaan memerangi penyakit tibi.

2. DR ZAINUDIN

3. SEBAHAGIAN peserta turut menggunakan basikal ketika menyertai KL Fun Run.

Disiarkan pada: April 3, 2017 @ 9:50am
d