mutakhir

Jambatan retak tempat lain la...

Manjung: Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Manjung menafikan dakwaan berlaku keretakan di Jambatan Sitiawan, di sini seperti yang tular di media sosial sejak Sabtu lalu.

Keadaan itu menimbulkan ketakutan pengguna jalan raya kerana situasi berkenaan mendedahkan pengguna kepada risiko bahaya apabila jambatan itu antara tiga jambatan utama yang menghubungkan Pantai Remis dengan Seri Manjung dan Sitiawan.

Jurutera Daerah, Haslina Mohd Isa berkata, gambar yang disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab itu tidak benar sama sekali dan sebaliknya ia berlaku di sebuah jambatan yang masih dalam kerja pembinaan di satu lokasi di daerah ini.

Katanya, pihaknya juga sudah menghantar kakitangan menjalankan pemeriksaan di jambatan berkenaan bagi memastikan ia selamat digunakan oleh penduduk setempat.

“Kita sudah hantar kakitangan, semalam (kelmarin) untuk memeriksa jambatan berkenaan dan mendapati keadaan di situ tidak seperti didakwa.

“Tiga jambatan utama iaitu Jambatan Raja Permaisuri Bainun, Jambatan Semalon dan Jambatan Sitiawan adalah selamat untuk dilalui,” katanya.

Haslina berkata, JKR akan sentiasa memantau struktur serta keadaan jambatan bagi memastikan ia selamat digunakan orang awam dan pemeriksaan wajib dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun.

“Keadaan ini menimbulkan kerisauan orang awam dan seharusnya mereka perlu memastikan kesahihan sesuatu perkara itu daripada agensi berkaitan,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2017 @ 4:26am
d