mutakhir

Tangguh dahulu

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Ipoh: Kerajaan harus menangguhkan pembentangan Pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) kerana beberapa pindaannya bertentangan dengan Perlembagaan dan hukum syarak serta dianggap memperlekeh dan menghina Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, bacaan kali kedua pindaan akta berkenaan dijangka dibentangkan minggu ini juga ada antaranya bertentangan dengan fatwa diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-87 pada Jun 2009.

Beliau berkata, pada muzakarah itu, jawatankuasa berkenaan memutuskan apabila pasangan ibu atau bapa memeluk Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan itu secara automatik beragama Islam.

Katanya, pindaan menerusi Seksyen 88A (seksyen baru) yang menyebut penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa bertentangan dengan apa yang diputuskan dalam fatwa serta ditetapkan hukum syarak.

“Oleh itu, pembentangan ini seolah-olah memperlekeh dan menghina fatwa atau tidak menghormati fatwa yang dibuat.

“Perkara ini cukup berat dan bertentangan dengan Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan penentangan hukum yang ditetapkan syarak,” katanya.

Harussani berkata, kerajaan harus menarik balik pindaan akta itu buat masa ini dan mengekalkan peruntukan sedia ada supaya tidak timbul kekeliruan dan kemarahan umat Islam, selain boleh mencetuskan masalah lebih berat pada masa akan datang.

Disiarkan pada: April 4, 2017 @ 4:30am
d