mutakhir

Pencarian getir

Oleh Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Pasukan penyelamat menumpukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi rumah yang dihanyutkan banjir lumpur di Ladang Sungai Labou, Tongod, Kinabatangan Jumaat lalu selepas seorang mangsa yang terselamat mendakwa terdengar suara di lokasi rumah yang tertimbus ketika banjir lumpur itu berlaku.

Operasi yang masuk hari ketiga, semalam membabitkan 45 anggota bomba termasuk Pasukan Khas Taktikal dan Menyelamat (STORM) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Sandakan, selain dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis serta beberapa pekerja ladang terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Mudi Pengiran berkata, operasi dimulakan kira-kira jam 7 pagi semalam dengan pembersihan runtuhan rumah disebabkan paras lumpur agak dalam, selain timbunan batu besar dan kayu balak.

“Tumpuan operasi SAR dijalankan di kawasan timbunan runtuhan rumah kerana dikhuatiri ada mangsa yang tertimbus selepas dakwaan salah seorang mangsa yang terselamat mendengar suara di lokasi timbunan runtuhan itu pada malam kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, operasi SAR agak sukar kerana tapak rumah berubah dari kedudukan asal manakala aliran sungai menjadi lebih besar dengan lebar kira-kira 18 hingga 30 meter selain bercampur kayu dan batu besar.

“Pasukan SAR memulakan operasi dengan melakukan pemugaran pada timbunan runtuhan rumah dan kerja itu agak rumit kerana lumpur sedalam paras paha (kira-kira satu meter), selain timbunan batu besar dan kayu balak yang dibawa arus banjir. Malah, operasi SAR turut menggunakan jengkaut.

“Operasi terbabit turut dilakukan di sepanjang laluan Sungai Labou hingga Sungai Penangah oleh anggota PPDA bersama polis serta APM. Kita khuatiri semua mangsa dibawa arus sungai berhampiran,” katanya.

Dalam kejadian pada malam Jumaat lalu, sembilan beranak warga Filipina hilang selepas rumah mereka dihanyutkan banjir lumpur akibat tanah runtuh di Ladang Sungai Labou, Tongod.

Jalikha Malingkut, 50, dan suaminya, Abdul, 50, ditemui selamat keesokan harinya di Sungai Penangah manakala tujuh lagi membabitkan empat anak mereka dan tiga cucu berusia antara lapan hingga 18 tahun masih hilang.

Difahamkan, rumah didiami semua mangsa adalah kediaman pekerja ladang terletak kira-kira 400 meter dari Sungai Labou dan terpisah daripada rumah pekerja ladang lain.

Disiarkan pada: April 4, 2017 @ 4:35am
d