mutakhir

'Jenama' harga runtuh

Kuala Lumpur: Harga sebenar cermin mata berjenama terkemuka mencecah ribuan ringgit setiap satu, namun satu sindiket dikesan menjualnya pada harga semurah RM10 sahaja.

Promosi ‘harga runtuh’ itu mendapat sambutan pelanggan yang datang membeli cermin mata itu di tiga kedai pemborong di Lorong Haji Taib, di sini.

Bagaimanapun kegiatan itu dikesan sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan yang melakukan serbuan jam 1 tengah hari, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan, Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, dalam serbuan berkenaan pihaknya merampas 19,127 cermin mata tiruan jenama Ray Ban.

Beliau berkata, semua barang rampasan tiruan berkenaan bernilai RM87,833 dan dijual di kedai pemborong berkenaan.

“Pemilik premis menjadikan stor di bahagian belakang premis untuk menyimpan cermin mata tiruan.

“Stor berkenaan agak tersorok kerana terletak di belakang premis, sekali gus sukar pihak berkuasa sukar mengesan aktiviti haram dijalankan,” katanya.

Wan Mohd Yusof berkata, siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti aktiviti dan tempoh masa sindiket berkenaan beroperasi termasuk dari mana stok barangan diperoleh.

“Peniaga diingatkan supaya tidak menjual barang tiruan atau mereka berdepan hukuman yang lebih tegas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2017 @ 5:13am
d