mutakhir

7 beranak hanya berteman cahaya pelita

Kota Bharu: Dengan hanya berbekalkan cahaya pelita, apalah yang dapat dilakukan tujuh beranak meneruskan kehidupan mereka terutama di malam hari.

Namun, itu yang dihadapi tujuh beranak disebabkan rumah warisan mereka di Kampung Banggol Lepoh, Padang Lembik, Ketereh terputus bekalan elektrik sejak tiga tahun lalu.

Menurut Zalida Ismail, 41, rumahnya sebelum ini menerima bekalan elektrik hasil daripada sambungan dari rumah jiran berdekatan sebelum sambungan itu dipanah petir pada 2014.

“Sejak kejadian itu, tiada lagi sambungan ke rumah jiran dan kami hidup bergantung kepada bekalan cahaya pelita dan lilin saja.

“Disebabkan pergerakan terbatas, saya dan suami Zawawi Yunus, 46, pernah meminta bantuan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) namun tiada maklum balas.

“Untuk memohon akaun sendiri dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), kami perlu jelaskan tunggakan bil berjumlah RM1,800 dan pastinya tidak mampu kerana suami hanya bekerja buruh,” katanya.

Menurutnya, mereka masih menggunakan air perigi untuk memasak dan membasuh pakaian, memandangkan tidak berkemampuan menggunakan bekalan air terawat.

Zalida berkata, gaji suaminya hanya RM55 sehari dan bergantung kepada jumlah hari bekerja, malah hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian mereka.

“Suami pula ada penyakit lelah, jadi ada hari dia tidak boleh bekerja. Berikutan kesulitan itu dia ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan,” katanya.

Dia mengakui dua anaknya iaitu Mohd Fikri, 16, dan Alia Maisarah, 14, tidak bersekolah disebabkan miskin selain, kedua-duanya malu untuk berhadapan masyarakat.

Katanya, Mohd Fikri yang juga anak sulung berhenti sekolah ketika masih bersekolah rendah, manakala, Alia Maisarah digantung persekolahan pada Mac 2016 disebabkan sebulan tidak hadir ke sekolah.

“Hanya tiga anak yang masih bersekolah iaitu Mohd Faiz Idham, 12, Mohd Fakhrul Hisham, 10, dan Mohd Fazli Aqif, 8, di Sekolah Ke bangsaan (SK) Ketereh,” katanya yang mengharapkan ketiga-tiga anaknya ini meneruskan persekolahan.

Orang ramai yang mahu membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0311929000047970 atas nama Zalida Ismail.

Disiarkan pada: April 5, 2017 @ 4:11am
d