mutakhir

Tidur dibantai lumpur

Oleh Norasikin Daineh dan Poliana Sidom

Kinabatangan: “Kurang seminit rumah terhempas akibat tanah runtuh, banjir lumpur pula tiba-tiba melanda sebelum menghanyutkan kami sekeluarga,” kata Jaliha Madayan, 50, antara tiga mangsa banjir lumpur yang terselamat susulan tanah runtuh di Ladang Sen Fu, dekat Tongod, kira-kira 160 kilometer dari Keningau, awal pagi Sabtu lalu.

Dua lagi yang ditemui selamat dalam kejadian jam 1 pagi itu ialah suami Jaliha, Abdul Kamalayan, 50, dan anak lelaki mereka, Joshnam, 18.

Bagaimanapun, lima anak mereka yang berusia 10, 11, 12, 16 dan 36 tahun serta tiga cucu masing-masing berusia enam, lapan dan 11 tahun hilang selepas dihanyutkan banjir lumpur.

Setakat jam 4 petang semalam, lima mayat dipercayai mangsa banjir lumpur itu sudah ditemui termasuk seorang kanak-kanak, namun identiti mereka masih belum disahkan.

Menceritakan kejadian, Jaliha berkata, mereka yang berasal dari Tanjung Labian, Lahad Datu baru 11 hari menghuni rumah pekerja di ladang berkenaan.

“Ketika kejadian, kami sedang tidur tiba-tiba rumah terhempas sebelum dihanyutkan banjir lumpur. Saya tidak sangka kejadian seperti ini berlaku kerana sungai di belakang rumah kami kecil saja.

“Saya tidak sedar apa yang berlaku selanjutnya kerana sejurus tersedar, saya berada di klinik bersama suami serta anak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jaliha berkata, dia berharap semua anak serta cucunya ditemui walaupun hanya jasad.

Sementara itu, dua mayat dipercayai mangsa banjir lumpur itu ditemui timbul di sungai di Kampung Masaum, malam kelmarin, manakala mangsa ketiga ditemui penduduk di Kampung Mangkawago, jam 7 pagi semalam.

Mangsa keempat yang juga kanak-kanak ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di tepi sungai Kampung Pasik, jam 10.57 pagi semalam.

Mangsa kelima dipercayai remaja perempuan ditemui jam 1.41 tengah hari di Sungai Penangah oleh pasukan SAR.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Mohd Affendy K Ramin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) mengesahkan 11 mangsa terbabit dalam bencana itu selepas pelarasan dibuat daripada anggota operasi di Ladang Sen Fo dan Sungai Penangah.

“Setakat jam 4 petang semalam, lima mangsa ditemui meninggal dunia, tiga masih hilang dan tiga terselamat.

“Mangsa kelima ditemui di Sungai Penangah oleh anggota bomba ketika SAR dijalankan tengah hari semalam,” katanya.

Pada operasi yang masuk hari keempat, 45 anggota SAR membabitkan bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk bersama-sama mengesan mangsa.

Katanya, operasi itu tertumpu di sepanjang laluan sungai susulan penemuan mayat dipercayai mangsa banjir lumpur terbabit selain membersihkan timbunan kayu, batu dan lumpur di Ladang Sen Fu bagi mencari baki mangsa yang masih hilang.

“Mayat ditemui dibawa ke jeti Kampung Penangah sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2017 @ 4:14am
d