mutakhir

Adik enggan turun

Oleh Zaid Salim

Besut: “Traktor tu berpusing sebelum jatuh dalam sungai,” kata Nur Lia Emilia Azman, 10, seorang daripada mangsa yang selamat selepas jentera pembajak dinaiki terbalik di tebing sungai di Kampung Chegar Malok, di sini, petang, kelmarin.

Nur Lia Emilia yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La berkata, sebelum kejadian, dia bersama adiknya, Nur Ainy Dania, 7, dan sepupu, Rabiatul Adawiyah Sayuti, 10, melihat orang membajak tanah kebun bersama dua lagi rakan sekampung.

Menurutnya, ketika hendak pulang, sepupunya mengajak dia dan arwah adiknya menaiki jentera berkenaan.

“Saya dan adik tidak pernah menaiki traktor dan tanpa berfikir, saya serta adik berdiri di atas besi yang menutup mata pembajak di bahagian belakang manakala sepupu di sebelah kanan pemandunya.

“Sampai di tempat kejadian, pak cik Salim (pemandu) menyuruh kami turun kerana berat dan keadaan jalan licin selepas hujan lebat.

“Saya melompat turun manakala adik dan Rubi (sepupu) tidak mahu turun, ketika itu saya melihat traktor itu menghala ke sungai dan terjunam.

“Saya tengok dua kali ia berpusing. Saya terkejut dan berteriak melihat kejadian itu dengan traktor itu tenggelam bersama adik dan sepupu manakala Pak Salim sempat terjun tetapi cedera di kaki,” katanya ketika menceritakan insiden mengorbankan adik dan sepupunya itu.

Nur Lia Emilia yang masih trauma berkata, dia jarang bermain di kawasan sungai kerana dilarang ibunya, tetapi pada hari kejadian, dia bersama adik dan sepupu ke kawasan berkenaan bersama dua lagi rakan.

Menurutnya, ketika kejadian, dua rakannya pulang dengan menaiki motosikal sebelum berpatah balik selepas mendapati traktor berkenaan tidak muncul.

Dalam kejadian 5.49 itu, Nur Ainy Dania lemas selepas tersangkut pada mata bajak yang tenggelam di dalam sungai berkenaan manakala sepupunya Rabiatul Adawiyah disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Besut.

Disiarkan pada: April 5, 2017 @ 4:16am
d