mutakhir

Pilih tokoh media [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Lima calon teratas setiap kategori Hadiah Kewartawanan Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas 2016 (HKM MPI-Petronas 2016) 21 April ini akan dipaparkan di laman web MPI pada 10 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Dr Chamil Wariya berkata, MPI menerima 291 penyertaan berkualiti bagi 20 kategori yang dipertandingkan dalam HKM MPI-Petronas 2016.

Katanya, penyertaan pada tahun ini berkurangan berbeza pada tahun lalu iaitu lebih 500 penyertaan diterima.

“Faktor penyertaan berkurangan kerana dikenakan bayaran buat pertama kali bagi setiap penyertaan iaitu RM100 untuk ahli dan RM200 bagi bukan ahli.

“Ia bagi menampung kos bayaran 20 panel hakim serta menggalakkan penyertaan yang berkualiti,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan sempena Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2017, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarang Kumpulan Harian Metro yang juga Pengerusi Bersama majlis anugerah berprestij itu, Datuk Mustapa Omar dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab.

Pada majlis itu, sebanyak 42 penaja terdiri daripada sektor kerajaan, syarikat korporat dan individu menyerahkan sumbangan berjumlah RM374,500 bagi memastikan kelancaran HKM MPI-Petronas 2016.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk tajaan RM300,000 oleh Petronas yang kekal sebagai penaja utama sejak 1994.

“Majlis tahun ini akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga akan menyampaikan hadiah kepada pemenang utama,” katanya.

Menurut Chamil, selain PETRONAS, penaja lain ialah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Affin Bank Berhad, Ambank Group Berhad, Lembaga Tabung Haji, EXIM Bank Berhad dan DRB-Hicom Berhad.

Beliau berkata, panel hakim juga akan memilih seorang Tokoh Media ketika MWM 2017 sebagai kategori baru pada tahun ini.

“Buat pertama kali, anugerah Tokoh Media akan diberikan kepada individu yang memainkan peranan penting dalam membangunkan organisasi perniagaan media,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2017 @ 7:33am
d