mutakhir

Panggil bomba potong empat cincin tersangkut

Melaka: Kakitangan perubatan Hospital Melaka, di sini, terpaksa menghubungi pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan kerana menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan empat cincin dipakai pada jari kedua-dua tangan seorang wanita berusia 23 tahun, kelmarin.

Sebelum itu, gadis berkenaan datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas jari manisnya membengkak akibat dicengkam cincin dipakainya.

Akibat mengalami kesukaran membuka tiga cincin pada jari manis tangan kanan dan satu lagi pada jari sama tangan kiri kakitangan perubatan kemudian menghubungi bomba pada jam 10.19 malam.

Gadis berkenaan terpaksa menahan kesakitan hampir 40 minit ketika anggota bomba dipanggil memulakan operasi memotong semua empat cincin berkenaan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Azlan Abd Rahman bersama enam lagi anggota.

“Ketika sampai didapati seorang pesakit perempuan datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat jari membengkak. Mangsa ketika itu juga menahan kesakitan akibat cincin dipakai gagal ditanggalkan.

“Selepas melakukan pemeriksaan, anggota bomba memulakan usaha memotong tiga bentuk cincin pada jari manis kanan dan sebentuk lagi pada jari manis kiri wanita berkenaan menggunakan peralatan khas,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2017 @ 5:44am
d