mutakhir

Samsung sumbang RM50,000 kepada UM

Kuala Lumpur: Pelajar yang mengikuti pengajian Korea bukan saja mendapat peluang dalam pasaran pekerjaan, malah boleh mempelajari ekonomi, perniagaan, hubungan antarabangsa dan budaya negara berkenaan.

Ketua Jabatan Pengajian Asia Timur Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Dr Asmadi Hassan berkata, sumbangan syarikat swasta seperti Samsung Elektronik Malaysia (SME) Sdn Bhd membolehkan pihaknya menjalankan pelbagai kajian atau projek berkenaan Korea.

“Bahasa Korea semakin diminati dan perkembangannya di Malaysia sangat menggalakkan.

“Usaha berterusan yang dijalankan Samsung dalam segmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka membantu kami dalam mempelbagaikan latihan pengajian Korea yang ditawarkan di UM,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan cek bernilai RM50,000 oleh Samsung, di sini, semalam.

Cek diserahkan oleh Pengarah Hal Ehwal Korporat SME, Datuk Roh Jae Yeol kepada Naib Canselor UM, Tan Sri Profesor Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin.

Dr Asmadi berkata, penguasaan bahasa Korea secara tak langsung membantu pelajar memperoleh pekerjaan sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Banyak syarikat Korea di negara ini dan mereka memerlukan tenaga kerja dan tidak mustahil dengan sumbangan daripada Samsung ini, kami dapat menjalankan pelbagai program seperti ‘outbound’, pertukaran, kajian dan inovasi.

“Sumbangan itu juga membolehkan kami menghantar lima hingga 10 pelajar setiap tahun ke Korea untuk mempelajari bahasa serta budaya masyarakat di sana,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2017 @ 5:55am
d