mutakhir

Jenuh mesyuarat 10 kali

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Nasib lebih 400 peniaga Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang perlu berpindah ke penempatan sementara bagi memberi laluan kepada projek pembangunan River of Life (RoL) masih samar dan menemui jalan buntu.

Mereka sepatutnya berpindah ke Jalan Masjid India di sini, Sabtu ini namun tidak dapat berbuat demikian berikutan bekalan elektrik masih belum disediakan di kawasan sementara berkenaan.

Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Pasar Malam Lorong TAR Azkhalim Suradi berkata, semua peniaga sebulat suara mahu berpindah ke penempatan sementara itu sekiranya pihak kontraktor yang dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menunaikan janji menyediakan kemudahan itu.

“Kita janji kalau bekalan elektrik sudah ada, kita akan berpindah sebab ini satu keperluan utama.

“Setakat ini lebih 10 kali mesyuarat jawatankuasa persatuan bersama DBKL dan pihak Kementerian Wilayah Persekutuan diadakan dan sesi taklimat hari ini (semalam) sepatutnya ada kata putus tetapi kontraktor bekalan elektrik pun tidak datang untuk memberikan penjelasan.

“Kita juga sebenarnya tak dapat pencerahan lebih jelas bila projek ini akan bermula namun apa yang pasti kami akan berniaga di penempatan sementara kira-kira sembilan hingga 12 bulan bergantung kepada seberapa cepat projek dapat disiapkan,” katanya selepas sesi taklimat dan penerangan penjaja pasar malam Lorong TAR daripada wakil DBKL di Dewan Komuniti Pusat Perdagangan Lorong Bunus di sini, semalam.

Sementara itu, penjaja kain Ahmad Razif Naif, 32, berkata mereka tidak menolak pembangunan dan menyokong usaha pihak berkaitan membangunkan kawasan niaga mereka, namun berharap keperluan peniaga tidak diabaikan dan diketepikan.

“Projek pembangunan ini bagus kerana kawasan niaga kami akan nampak lebih cantik dan teratur, cuma kita berharap keperluan kita tidak diabaikan seperti kemudahan elektrik dapat disediakan dan semua penjaja asal memperoleh tapak niaga masing-masing.

Sementara itu, menurut sumber DBKL semua 403 pemegang lesen Pasar Malam Lorong TAR akan mendapat petak masing-masing kerana sebanyak 550 petak niaga akan dibangunkan mengikut perancangan projek.

“Jangan bimbang, semua akan dapat petak masing-masing.

“Kita harap semua orang beri kerjasama dan segala perkara yang dibangkitkan akan dibawa dan dibincangkan ke peringkat atasan untuk kebaikan semua pihak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Disiarkan pada: April 7, 2017 @ 4:21am
d