mutakhir

Isi 50,000 kekosongan

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Peluang melanjutkan pelajaran ke menara gading terutama kepada pelajar luar bandar kini lebih cerah apabila 50,000 tempat ditawarkan menerusi Jelajah Pendidikan Bumiputra 2017.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program berkenaan menjelajah ke semua negeri dan setakat ini, tujuh negeri dilawati dengan 27,901 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat manfaat apabila mereka ditawarkan melanjutkan pelajar ke universiti awan dan swasta.

Beliau berkata, sasaran pihaknya lebih ramai pelajar luar bandar berpendapatan rendah meneruskan impian melanjutkan pelajaran ke menara gading tanpa masalah.

“Menariknya program ini, pelajar yang hadir terus ditemu duga wakil universiti dan sekiranya layak mereka ditawarkan mengikuti pengajian diinginkan.

“Sebanyak 34 institut pengajian tinggi (IPT) termasuk kolej kemahiran menyertai program dengan pelbagai kursus ditarakan kepada pemohon,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Sementara itu, Tengku Adnan mahu golongan belia merebut peluang disediakan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

“Golongan belia seharusnya tidak menjadikan alasan kurang berkemampuan sebagai penghalang berjaya dalam bidang pendidikan kerana ia mampu mengubah hidup seseorang kepada lebih baik.

” Pendidikan bukan hanya untuk mendapat pekerjaan semata-mata, namun ia membentuk sahsiah serta jati diri jitu pada masa depan,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2017 @ 4:43am
d