mutakhir

Ragut ibu, tetak anak

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: “Saya menjerit sambil berpura-pura menghubungi talian bantuan menyebabkan lelaki itu panik dan terus melarikan diri selepas menyamun kedai runcit dan menetak tangan kiri anak perempuan saya.”

Demikian cerita mangsa samun yang mahu dikenali Aminah, 49, menceritakan detik cemas kedai runcitnya di Sidam Kiri, Sungai Petani, dekat sini, disamun seorang lelaki menyebabkan kerugian dianggarkan RM2,000 selepas gelang tangannya dilarikan suspek, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 11 pagi, suspek yang memakai topi keledar masuk ke dalam kedai dan berpura-pura ingin membeli barang.

Aminah mengakui tidak mengesyaki apa-apa dan menganggap lelaki itu ingin membeli barang sebelum lelaki itu mengambil air tin dan meletakkannya di kaunter.

“Bagaimanapun, lelaki itu keluar sebentar dan masuk semula serta dan menyerahkan RM5 untuk membayar minuman itu.

“Selepas saya menyerahkan baki RM4 dia terus mendekati saya sebelum merentap gelang tangan emas menyebabkan saya menjerit meminta pertolongan,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu keluar sebelum kembali semula dengan parang dan mengugut menyerahkan wang jika tidak mahu dicederakan.

“Anak perempuan berusia 25 tahun yang berada di dalam rumah keluar selepas terdengar jeritan saya serta cuba membantu namun lelaki itu terus menyerang dan menetaknya menyebabkan cedera di tangan kiri.

“Dia menghempas barangan di dalam kedai itu menyebabkan saya mencapai telefon bimbit dan menghubungi talian 999 sebelum menjerit ‘hello polis’ beberapa kali menyebabkan lelaki itu panik dan terus melarikan diri,” katanya.

Katanya, anaknya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan menerima enam jahitan.

Bimbang kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Disiarkan pada: April 7, 2017 @ 4:55am
d