mutakhir

Ipah ketawa semula selepas 8 bulan terlantar

Alor Gajah: “Kali pertama saya dengar dia ketawa selepas beberapa bulan membisu dan terlantar, air mata saya terus mengalir.

“Gembira tak terkata dapat dengar semula suara Ipah,” luah Hasnilah Abdullah, 48, ibu Zarifah Zahraa Zamry, 11, yang disahkan menghidap kanser otak tahap empat sejak dua tahun lalu.

Katanya, sebelum itu, Zarifah kerap muntah, sakit belakang dan tidak berdaya berjalan.

Menurutnya, Ipah antara pelajar pintar yang mendapat perhatian guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Petai namun harapan Hasnilah melihat anaknya itu mencapai kecemerlangan dalam pelajaran lebur apabila kanak-kanak itu tiba-tiba rebah di sekolah pada 26 Oktober 2015.

Ipah terus dikejarkan ke Hospital Melaka dan hasil pemeriksaan doktor mengesan tumor besar pada belakang otak kanak-kanak itu.

“Tumor itu menghalang proses mengalirkan air dari otak ke tulang belakang. Sehari kemudian Ipah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan mengeluarkan air dari otak secara pembedahan pintasan.

“Pada 7 November, Ipah menjalani pembedahan utama membuang tumor, memakan masa lebih 12 jam. Dia memberi tindak balas positif pada hari kedua.

“Bagaimanapun, tiba-tiba Ipah diserang sawan mengakibatkan anggota badan di sebelah kiri tidak boleh digerakkan manakala mata hampir terpejam,” katanya di kediamannya di Perumahan Awam Sungai Petai, di sini, semalam.

Menurutnya, sejak itu dia bersama suami Zamry Abd Rasip, 49, memberi perhatian kepada Ipah ibarat bayi. Malah, sepanjang lapan bulan terlantar di wad HKL pasangan itu kerap membacakan buku cerita dan menayangkan video kegemaran untuk menceriakan anak bongsu daripada enam beradik itu.

“Berita terakhir yang dikhabarkan doktor membawa keceriaan kepada kami selepas dimaklumkan sel kanser tidak lagi merebak walaupun Ipah belum bebas sepenuhnya daripada penyakit itu,” katanya.

Zamry berkata, dia mengorbankan kerjayanya apabila nekad meletakkan jawatan juruteknik kabel di syarikat swasta, kerana Hasnilah tidak mampu menguruskan Ipah bersendirian.

“Selepas dimaklumkan mengenai penyakit Ipah, saya terus berhenti kerja dan bergegas ke hospital menjaga Ipah. Disebabkan terkejut ketika itu, saya tidak sempat memikirkan mengenai lima lagi anak ditinggalkan di rumah.

“Mujur anak sulung faham situasi itu dan menguruskan adiknya. Malah saudara-mara dan jiran banyak memberi sokongan dengan menghantar bekalan makanan ke rumah, kerana tahu kami tinggalkan anak tanpa pengawasan orang dewasa,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2017 @ 7:34am
d