mutakhir

Biola berlagu tukang gunting

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Seorang tukang gunting di pekan Alor Gajah menghabiskan masa dengan menggesek biola sementara menunggu pelanggan datang mendapatkan perkhidmatannya.

Md Jais Othman, 58, berkata, dia bukan sekadar mengasah bakat atau menghilangkan rasa bosan, sebaliknya berharap akan ada anak muda tertarik, sekali gus mempelajari cara bermain biola.

Katanya, anak perempuan tunggalnya berusia 25 tahun tidak menunjukkan minat mewarisi bakatnya itu menyebabkan dia sedia mengajar kemahiran menggesek biola kepada sesiapa sahaja yang berminat.

“Saya warisi bakat arwah bapa dan mula bermain biola sejak berusia 10 tahun lagi. Ketika kecil saya kerap berlatih menggunakan biola buluh kerana bunyinya tidak kuat dan sesuai didengar telinga sendiri serta tidak mengganggu orang lain.

“Kerana tidak pernah mendapat pendidikan secara formal dalam bidang muzik, saya menggesek biola mengikut naluri muzik atau ‘by heart not by note,” katanya ketika ditemui, di kedainya, di sini, semalam.

Tukang gunting itu berkata, pada zaman kegemilangannya dia menganggotai kumpulan muzik joget lambak Melaka atau lebih dikenali sebagai Chak Kun Chak sekitar tahun 1970-an dan mengadakan persembahan pada majlis perkahwinan.

Malah, dia turut menganggotai beberapa kumpulan muzik asli lain seperti Cahaya Baru Tangga Batu, Mawar Biru Bertam, Baba Nyonya dan yang terkini Kumpulan Hiasan Budaya Tangga Batu.

“Dulu upah kami terima setiap kali mengadakan persembahan hanya RM15 sahaja. Walaupun tak banyak, ia cukup untuk membuatkan saya puas,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2017 @ 7:39am
d