mutakhir

Kurang silap

Oleh Nur Ain Musdad

Melaka: Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, menerima sambutan menggalakkan apabila lebih 25,000 pengunjung hadir sepanjang lima hari ia berlangsung.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan persiapan dilakukan oleh kerajaan negeri Melaka yang juga tuan rumah.

“Apa yang boleh saya katakan, persiapan dilakukan untuk menjamin kelancaran majlis seperti penganjuran peringkat antarabangsa.

“Walaupun program ini berlangsung pada waktu siang (hafazan) dan malam (tilawah) tetapi persiapan fizikal, sambutan, atur cara serta jumlah pengunjung amat memberangsangkan,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Mohamad Nordin yang juga Timbalan Pengerusi Jemaah Hakim berkata, pada majlis tilawah kali ini 28 qari dan qariah mewakili 14 negeri memperdengarkan bacaan masing-masing.

Beliau berkata, peserta mengambil bahagian pada tilawah kali ini memperdengarkan mutu bacaan yang baik dan meyakinkan selain kurang membuat kesilapan.

“Mungkin mereka sudah diuji ketika di peringkat negeri hingga dipilih mewakili negeri masing-masing. Peserta tilawah dinilai menerusi empat aspek iaitu Tajwid (35 peratus), Tarannum (25 peratus), Fasohah (20 peratus) dan Suara (20 peratus).

“Setiap aspek itu dinilai oleh tiga hakim berpengalaman. Selain itu, tahun ini kami ada melakukan sedikit perubahan pemarkahan untuk aspek suara daripada 15 peratus pada tahun lalu kepada 20 peratus,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2017 @ 7:44am
d