mutakhir

Pembikin wajah hodoh

Oleh Mohd Rizal Abdullah

Miri: Sekali pandang, solekan mengerikan yang dihasilkan Azaiman Kadir, 27, ini seakan hasil suntingan tiga dimensi (3D) yang menggunakan teknologi digital yang canggih.

Sebaliknya, solekan wajah menyerupai ‘zombi’, selain paparan muka dengan kesan terbakar dan torehan yang mengerikan itu hanya menggunakan kreativiti hasil tangan pemuda yang berasal dari sini.

Lebih mengagumkan, dia tidak pernah mengikuti mana-mana kelas solekan artistik dan lukisan 3D daripada pelukis muka profesional, sebaliknya hanya belajar sendiri melalui Internet.

Bagi yang pertama kali melihat hasil kreativiti Azaiman ini pasti kagum dengan kehebatan solekan artistik yang kelihatan bagaikan sentuhan seorang profesional.

Azaiman yang juga seorang jurusolek berkata, dia mulanya mempelajari teknik itu melalui laman YouTube sejak 2011 lagi dan ia sekadar untuk mengisi masa lapangnya saja.

“Saya berasa bosan membuat solekan biasa, justeru saya cuba mencari sesuatu yang baru untuk dilakukan dan mahu mencipta kelainan.

“Pertama kali melihat solekan seperti itu di YouTube, saya sangat teruja untuk mencuba dan hasilnya cukup memberangsangkan.

“Saya mempelajarinya selama tiga bulan, selain turut belajar dengan seorang rakan dari Kuala Lumpur yang berkebolehan melakukan solekan ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Daripada sekadar melakukannya untuk suka-suka, Azaiman tidak menyangka ramai pula yang meminati hasil kerjanya itu dan menjemputnya melakukan solekan untuk acara tertentu, seperti sambutan hari jadi dan sambutan makan malam syarikat tertentu.

“Sejak itu, saya menjadikan hobi ini sebagai mata pencarian untuk duit poket tambahan, selain menumpukan kerja solekan untuk majlis rasmi dan perkahwinan.

“Sekalipun sudah hampir enam tahun mempraktikkan kemahiran menyolek muka menggunakan teknik khas ini, namun masih banyak lagi perlu saya pelajari untuk mempelbagaikan kreativiti saya,” katanya.

Bagi tempahan khas solekan unik ini, bayaran yang Azaiman kenakan kepada pelanggannya sekitar RM150 sehingga RM400 bagi setiap solekan.

Tempoh solekan antara dua jam sehingga lapan jam bergantung kepada jenis bentuk solekan yang dikehendaki pelanggan. Lagi sukar solekan yang diminta, lagi lama dan mahal bayaran yang dikenakan.

Untuk karakter zombi misalnya, Azaiman mengaplikasikan kesan terbakar dan kulit terkopek menggunakan cecair getah (latex), lilin parut, tisu dan pelapik (pad) kapas yang dilekatkan pada wajah untuk tampak lebih hidup.

“Melukis muka ini cabarannya terletak pada bentuk wajah. Tukang solek kena pandai ‘main’ warna bagi menampakkan kesan yang baik untuk kelihatan asli, tampak garang dan menggerunkan,” kata Azaiman.

Disiarkan pada: April 8, 2017 @ 7:48am
d