mutakhir

Tok Jogho Awang Laksamana

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Dari luar pekarangan sebuah rumah di Pasir Tumboh, di sini, sudah kedengaran kemerduan dan kelunakan suara lelaki mendendangkan lagu dikir barat dalam dialek Kelantan.

Dengan lenggok dan loghat sejati, ramai menyangka pemilik suara itu anak jati Kelantan berbangsa Melayu.

Siapa menyangka pemilik sebenarnya adalah lelaki berketurunan Cina yang dilahirkan di Kampung Pulau Sabak, di sini, malah sudah 17 tahun menjadi penyanyi atau Tok Jogho dikir barat.

Menceritakan bagaimana dia boleh meminati irama dikir barat, Mohd Ridzuan Tan Abdullah, 59, atau nama asalnya Tan Tong Chuan mengakui ia timbul hasil pergaulannya dengan masyarakat Melayu sejak kecil.

Dia yang lebih dikenali dengan nama Awang Laksamana ketika berdikir memberitahu dibesarkan dalam kelompok orang Melayu menyebabkan dia mudah jatuh cinta kepada kesenian Melayu.

“Pada awalnya hanya suka-suka mendengar dikir barat yang dianjurkan pelbagai pihak, tetapi lama-kelamaan jatuh cinta apabila saya sendiri jadi penganjurnya pada 1998 di sekitar Kota Bharu.

“Sejak itu, saya mula berjinak-jinak dan mempelajari irama dikir barat dan mengambil keputusan untuk menjadi Tok Jogho dalam beberapa kumpulan sejak 17 tahun lalu.

“Saya belajar dengan ramai orang untuk jadi Tok Jogho yang baik dan alhamdulillah menerima banyak jemputan untuk buat persembahan di macam-macam majlis keraian,” katanya.

Menariknya dikir barat bagi Mohd Ridzuan kerana mesej nasihat yang disampaikan dalam bentuk indah dan lunak di pendengaran, malah sesuai untuk dicerap semua peringkat usia.

Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak perempuan berusia 10 tahun dan sembilan tahun turut mencipta lagu dikir sendiri bersama rakan pendikir lain, antaranya Anak Muda dan Gila Oghe Comel yang pernah dimainkan radio tempatan.

Menetap di Kampung Pangkal Pisang, Peringat, dia mengusahakan bengkel kereta untuk menyara kehidupannya sekeluarga.

“Orang luar (Kelantan) memang pelik mendengar saya menyanyi lagu dikir barat kerana saya dilahirkan sebagai orang Cina, tetapi saya tidak janggal dan akan terus menjadi pendikir.

“Hingga kini, saya masih bergiat aktif dan tidak mahu irama ini pupus ditelan zaman.

“Saya tidak mempunyai kumpulan yang khusus namun saya akan menyanyi dengan mana-mana kumpulan jika dijemput,” katanya yang memeluk Islam, 11 tahun lalu.

Akuinya, hatinya terbuka untuk berhijrah kerana Islam itu indah dan dorongan daripada rakan berbangsa Melayu.

“Alhamdulillah, ia adalah berkat saya menyertai kumpulan dikir dan berkawan dengan masyarakat Melayu,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2017 @ 7:51am
d