mutakhir

Cam cebisan baju anak

Oleh Rosli Ilham

Dungun: “Cebisan pakaian dan penemuan telefon membuktikan itu anak saya,” kata Faridah Mohamad, 48, ibu Wan Abdul Hakim Wan Ahmad yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 90, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Ladang Gajah Mati, Bandar Al Mukhtafi Billah Shah (AMBS), dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi, Wan Abdul Hakim, 24, beralamat di Taman Indah, AMBS, rentung selepas terperangkap dalam kereta Perodua Kelisa.

Mangsa yang memandu kereta dipercayai milik rakannya dalam perjalanan dari Bukit Besi ke AMBS sebelum bertembung lori tanah.

Difahamkan, pertembungan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar.

Mangsa tersepit di tempat duduk gagal diselamatkan orang ramai yang berada berhampiran berikutan kenderaannya terperosok di bawah lori, selain api marak.

Faridah berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya yang bekerja sebagai buruh ladang di AMBS itu petang kelmarin.

“Dia keluar rumah jam 5 petang dan tidak maklum hendak ke mana. Malam tadi (kelmarin) dia tidak pulang dan saya tidak bimbang kerana dia jarang tidur di rumah.

“Sebaik dimaklumkan, saya bergegas ke tempat kejadian dan terkejut apabila keseluruhan kereta dan mayat arwah rentung,” katanya di Bilik Forensik Hospital Dungun, semalam.

Katanya, arwah tidak mempunyai kenderaan dan mungkin meminjam kereta rakannya.

“Apabila saya memaklumkan anak saya meninggal dunia kepada saudara-mara, barulah saya tahu daripada ibu saudara, malam tadi (kelmarin) arwah tidur di rumahnya di Kuala Terengganu.

“Mungkin kejadian berlaku ketika arwah dalam perjalanan pulang ke rumah di AMBS.

“Mulanya saya dan suami (Wan Ahmad Wan Hassan, 58) tidak dapat mengenalpasti mayat itu anak kami memandangkan keadaannya yang rentung.

“Bagaimanapun, selepas suami membuat pengecaman, cebisan seluar dan telefon bimbit mangsa yang dijumpai dalam kereta barulah saya sahkan arwah itu anak saya,” katanya.

Sementara itu, rakan arwah, Aiman Ihsan Alias, 26, berkata, arwah ke rumahnya jam 9.30 malam kelmarin dan memberitahu mahu meminjam kereta untuk mengambil rakan di Kuala Terengganu.

“Saya beri dia pinjam, tetapi pagi tadi (semalam) saya terkejut dapat berita mangsa terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan dia meninggal dunia dan rentung.

“Saya periksa kereta saya dan menemui telefon bimbit mangsa dan saya sahkan ia milik arwah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar AMBS, Jaswari Awang berkata, sepasukan enam anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan.

Katanya, pihaknya menggunakan jentolak untuk mengangkat kepala lori terbabit memandangkan kereta mangsa terperosok di bawah kenderaan berat itu.

“Mayat mangsa yang rentung dibawa keluar 15 minit selepas itu sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2017 @ 7:56am
d