mutakhir

'Bukan hantu, tekanan angin'

Melaka: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Balai Polis Banda Hilir, di sini, selama 73 saat yang menjadi tular berikutan dua pintu masuk terbuka sendiri terus diperkatakan, malah ramai menganggap balai polis terbabit berhantu.

Kisah balai polis itu bukan baru diperkatakan kerana ia pernah diberitahu anggota bertugas yang sering diganggu di tingkat atas bangunan terbabit.

Berdasarkan rakaman CCTV, tertera jam 4.21 pagi, tarikh 6 April 2017 iaitu pada Khamis lalu yang tular di media sosial, kelihatan tiga anggota polis berada di meja aduan awam.

Kejadian bermula dengan pintu kaca satu daun, terbuka sedikit seolah-olah ditolak dari luar tetapi tidak disedari polis bertugas.

Bagaimanapun, 10 saat kemudian, pintu sama terbuka seluas kira-kira 45 darjah ke dalam balai, membuatkan seorang anggota polis yang duduk di kerusi aduan awam terbangun akibat terkejut, sebelum pintu utama balai terbuka seperti ditarik keluar sehingga pintu kaca itu pecah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, beliau belum mendapat laporan mengenai kejadian pintu Balai Polis Banda Hilir yang pecah dan terkejut melihat rakaman CCTV dalam balai terbabit, menjadi tular di media sosial.

“Ya, saya sahkan pintu Balai Polis Banda Hilir pecah namun saya belum menerima laporan mengenainya. Mana ada hantu, kejadian mungkin disebabkan tekanan angin, namun saya masih menanti laporan balai terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menjalankan siasatan mengenai bagaimana rakaman CCTV dalam balai polis boleh menjadi tular.

Disiarkan pada: April 9, 2017 @ 4:30am
d