mutakhir

Tiada petunjuk baru

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Kinabatangan: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa banjir lumpur di Ladang Sen Fu, Tongod dekat sini, ditamatkan sepenuhnya kelmarin, berikutan tiada petunjuk baru berhubung dua mangsa yang masih hilang.

Dua mangsa yang hilang dikenali sebagai Alan, 11, dan Asma, 36. Mereka ialah anak kepada suami isteri, Abdul Kamalayan, 50, dan Jaliha Madayan, 50, yang terselamat dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat berkata, operasi SAR dua mangsa itu akan disambung semula sekiranya petunjuk baru diperoleh.

“Pasukan SAR tidak menemui petunjuk baru berhubung dua mangsa yang hilang dan operasi ditamatkan sepenuhnya petang kelmarin.

“Operasi diaktifkan semula pada bila-bila masa sekiranya maklumat atau petanda terbaru diperoleh,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehingga semalam, sembilan daripada 11 mangsa berusia enam tahun hingga 50 tahun ditemui dengan enam daripada mereka meninggal dunia manakala dua lagi selamat.

Pada kejadian jam 1 pagi Sabtu lalu, 11 sekeluarga dihanyutkan banjir lumpur selepas kediaman mereka dilanda tanah runtuh.

Abdul, Jaliha dan anak lelaki mereka, Joshnam, 18, ditemui selamat di Sungai Penangah, pagi Sabtu lalu.

Enam yang meninggal dunia ialah Azril, 6, Alisan, 8, Sabril, 10, Juhati, 11, Titiwana, 12, dan Ana, 16.

Disiarkan pada: April 9, 2017 @ 4:39am
d