mutakhir

Rempuhan sang sondol

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Rawang: Tiga sekeluarga nyaris maut sejurus kereta dinaiki gagal mengelak lalu merempuh seekor babi hutan dewasa yang meluru masuk ke laluan Lebuhraya PLUS di sini.

Dalam kejadian jam 1.30 petang semalam, babi hutan seberat lebih 100 kilogram itu dikatakan berlari ke tengah lebuh raya berhampiran kilometer 446, susur keluar Plaza Tol Rawang Selatan.

Saksi kejadian, Zulkifli Daud, 45, berkata, kereta Proton Saga FLX dinaiki tiga sekeluarga dari arah utara tidak sempat mengelak sebelum melanggar babi hutan itu.

Menurutnya, perlanggaran itu mengakibatkan kereta itu hilang kawalan sebelum memasuki laluan kanan lebuh raya.

“Sebuah pacuan empat roda yang datang dari arah sama kemudian merempuh belakang kereta Proton Saga itu.

“Seorang wanita warga emas yang berada di tempat duduk belakang kereta Proton Saga itu bagaimanapun terselamat,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan haiwan liar itu mati serta-merta akibat parah di perut.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian itu membantu mengheret babi hutan itu ke bahu lebuh raya selepas mendapati kesesakan lalu lintas sepanjang lebih satu kilometer,” katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2017 @ 8:27am
d