mutakhir

Syabu 'berani mati'

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Mereka dilabelkan sebagai ahli kimia ‘berani mati’ apabila sanggup menggadai nyawa demi menghasilkan dadah syabu buatan sendiri di dalam makmal haram.

Golongan membabitkan sindiket dadah tempatan ini dikesan aktif menjalankan eksperimen memasak dadah tanpa kemahiran mencukupi hingga menjadi punca kepada letupan atau kebakaran.

Sumber polis berkata, bukan semua sindiket dadah tempatan mampu menghasilkan syabu berikutan ramai yang gagal biarpun ujian dilakukan berulang kali.

Menurutnya, bahan kimia digunakan untuk menghasilkan dadah jenis syabu (precursor) biasanya membabitkan campuran pelbagai jenis kimia antaranya ephedrine, acetone, toluene, fosforus merah, caustic soda dan pelbagai kimia lain.

“Ahli sindiket yang mahu cepat kaya ini akan berusaha untuk menghasilkan dadah walaupun tidak mempunyai kepakaran khusus dalam bidang kimia.

“Mereka yang baru berjinak-jinak ini dikesan menjadikan Internet sebagai panduan selain mendapatkan resipi melalui ‘pakar luar’ yang dihubungi melalui telefon,” katanya.

Menurutnya, maklumat secara lisan yang dikumpul itu dijadikan resipi bagi memasak dadah di makmal haram.

“Namun menghasilkan dadah syabu atau metamfetamin berkualiti tidak semudah disangka berikutan kebanyakan sindiket menemui kegagalan biarpun bertahun mencubanya,” katanya.

Sumber polis berkata, siasatan dijalankan polis mendapati terdapat beberapa sindiket yang cuba menghasilkan syabu dalam kuantiti besar sebaliknya menemui kegagalan apabila peralatan memasak dadah digunakan meletup.

“Memasak dadah syabu mempunyai ‘rahsia’ tertentu selain pengetahuan berhubung suhu sesuai yang wajib diketahui.

“Ini antara punca sindiket dadah tempatan gagal menghasilkan dadah syabu dalam bentuk kristal jernih. Kaedah salah digunakan menyebabkan syabu ‘dimasak’ bertukar warna menjadi hitam, merah atau coklat pekat,” katanya.

Terbaru sindiket dadah yang digempur Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampar, Perak pada awal Mac lalu turut didapati gagal menghasilkan syabu seperti diharapkan.

Serbuan polis menemui dapur elektrik diubah suai untuk memasak bahan kimia, balang bersaiz besar, bekas menyimpan bahan mentah, baldi dan beberapa bahan kimia lain termasuk pseudoehedrine yang digunakan untuk menghasilkan syabu.

Bagaimanapun syabu yang dihasilkan kurang bermutu berikutan ia bertukar menjadi warna merah dan coklat.

Disiarkan pada: April 9, 2017 @ 8:29am
d