mutakhir

Parah tersepit

Oleh Ayshah Mohamad Jamaludin

Seremban: Seorang lelaki parah selepas kereta dipandu bertembung kereta Proton Wira di Jalan Mambau, berhampiran Taman Angsamas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi, mangsa, Foo Wei Khang, 28, yang memandu Datsun 120Y parah di kaki dan kepala akibat tersepit.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Md Zin Salleh berkata, sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati seorang mangsa tersepit di tempat duduk pemandu manakala tiga lagi mangsa yang menaiki Proton Wira sudah dikeluarkan orang awam dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

“Bomba mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa. Mangsa diserahkan kepada pihak ambulans dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes diserahkan kepada polis.

Disiarkan pada: April 10, 2017 @ 7:37am
d