mutakhir

1,000 penduduk 'bermandi' lumpur

Tasek Gelugor: Sukan Bendang 2017 dan Hari Ladang di Permatang Tiga, Pajak Song, dekat sini, bukan hanya menarik penyertaan kanak-kanak malah, wanita berusia turut tidak melepaskan peluang ‘bermandi’ lumpur, semalam.

Antara yang menyertai sukan berkenaan ialah Zarinah Ramli, 52, dalam acara tarik upih dalam sawah bersama pasangannya, Zariah Che Long, 41.

Menurut Zarinah, walaupun program berkenaan disertai ramai kanak-kanak dan remaja, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk bermain lumpur.

“Kami orang kampung sudah biasa dengan selut dan lumpur, bila ada program sebegini saya tidak mahu melepaskan peluang dan turut mengambil bahagian walaupun sudah berusia.

“Program sebegini bukan saja mengeratkan hubungan sesama penduduk tetapi turut menggamit nostalgia zaman kanak-kanak dulu,” katanya.

Program berkenaan anjuran Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Pertubuhan Belia Permatang Tiga, Kelompok Tani Permatang Tiga dan Pejabat Pertanian Seberang Prai Utara.

Program disertai kira-kira 1,000 penduduk itu dirasmikan ADUN Sungai Dua merangkap Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Pembangunan Belia, Wanita dan Kesejahteraan Rakyat Muhamad Yusoff Mohd Noor.

Selain acara tarik upeh, acara lain ialah bola baling, bantal warrior, tangkap itik, cari selipar, tarik tali, sofa berirama dan panjat tiang yang semuanya dibuat dalam sawah.

Sementara itu, Muhamad Yusoff berkata, program Sukan Bendang 2017 lebih meriah kerana membabitkan penyertaan pelbagai peringkat usia selain beberapa agensi kerajaan.

Katanya, Kelompok Tani Permatang Tiga antara kumpulan yang aktif mengadakan sukan bendang sementara menunggu sawah dibajak untuk penanaman semula padi.

“Selain bergasak dalam selut, penduduk turut berpeluang membeli hasil tani dengan harga ladang, menyertai kelas masakan serta melihat pameran agensi kerajaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2017 @ 7:47am
d