mutakhir

Imbuhan nilai kejujuran

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: “Saya tak pernah sangka diberi sambutan atau penghormatan sebegini. Apa yang saya lakukan berasaskan prinsip kejujuran.

“Kita jangan fikir kepentingan diri sendiri, sebaliknya perlu memikirkan kesusahan orang lain. Itu juga yang saya beritahu kepada anak-anak.”

Demikian kata pemandu teksi, Zamrod Adam, 58, selepas keikhlasannya memulangkan semula dompet penumpangnya tular di media sosial dan turut mendapat perhatian Yayasan Naza.

Zamrod berkata, dia tidak pernah mengimpikan tindakannya itu menjadi bualan di laman sosial, malah mendapat perhatian Yayasan Naza.

“Apa yang saya lakukan itu adalah tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia kepada rakyat yang lain. Penumpang itu (Bee Leng Ong) menaiki teksi saya dan tertinggal dompetnya.

“Sudah menjadi kewajipan saya untuk memulangkannya semula. Itu tanggungjawab kita semua sebagai rakyat Malaysia,” katanya, di sini, semalam.

Zamrod diraikan pada majlis khas anjuran Yayasan Naza dan hasil keikhlasan itu, yayasan berkenaan akan membiayai pembelajaran dua daripada empat anak pemandu teksi itu dengan nilai sumbangan RM500 setiap bulan selama tiga tahun.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan NAZA Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin.

Kejadian yang berlaku 22 Februari lalu memperlihatkan masih ramai rakyat negara ini yang mengamalkan sikap keikhlasan dan kejujuran melebihi sifat pentingkan diri.

Sementara itu, salah seorang anak Zamrod, Athirah, 21, yang menerima bantuan itu menerangkan bapanya memang gemar mengingatkan mereka adik-beradik supaya sentiasa berlaku jujur dan mengutamakan orang lain.

“Saya terharu...tidak sangka keikhlasan ayah akan mendapat perhatian seperti ini. Ayah memang selalu mengingatkan kami supaya jujur dan bertanggungjawab.

“Sebagai anak, saya memang bangga mempunyai ayah sepertinya,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2017 @ 8:48am
d