mutakhir

Bina keyakinan diri anak autisme

Kuala Lumpur: Ibu bapa kanak-kanak autisme semakin bersikap terbuka dalam mendedahkan anak mereka terhadap persekitaran kehidupan masyarakat normal.

Isteri Perdana Menteri yang juga merangkap Penaung Program program Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ia perkembangan positif dalam usaha mengurangkan stigma negatif yang selama ini membelenggu kanak-kanak autisme.

“Saya gembira apabila ramai ibu bapa semakin berani membawa anak (autisme) mereka untuk terbabit dalam aktiviti riadah seperti ini.

“Ia bukan saja dapat membantu kanak-kanak itu sendiri dalam membina keyakinan diri tetapi membolehkan ibu bapa berkongsi idea atau cara terbaik dalam mendidik anak mereka,” katanya selepas menghadiri Program Blue Kids Fun Zone (BKFZ) di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Pusat PERMATA Kurnia Prof Madya Dr Hasnah Toran.

Menurut Rosmah, BKFZ satu wadah atau alternatif yang baik bagi membolehkan kanak-kanak autisme didedahkan dengan pelbagai aktiviti, seterusnya keluar daripada kepompong yang membelenggu kelompok berkenaan.

“Saya berharap melalui program sebegini, ia dapat membantu kanak-kanak terbabit berkomunikasi dengan lebih baik selain membina tahap keyakinan diri mereka.

“Ia seterusnya dapat membantu mereka bergaul dan bersekolah di sekolah aliran biasa seperti kanak-kanak normal lain,” katanya.

Terdahulu, lebih 2,000 pengunjung menghadiri program BKFZ yang berkonsepkan santai dengan pelbagai aktiviti menarik seperti berenang, ‘safari gym’, cermin ajaib dan sebagainya.

Sementara itu, Nen Farahana Ahmad Fooad, 33, berkata, penganjuran BKFZ membolehkannya bertemu dengan ramai ibu bapa yang mempunyai anak autisme.

Disiarkan pada: April 10, 2017 @ 8:57am
d