mutakhir

Tekad jaga ibu saudara sakit mental hingga akhir hayat

Kota Bharu: Biarpun ibu saudaranya mengalami masalah mental, seorang wanita dari Kampung Selor Limbat, Pasir Tumboh bertekad menjaganya sehingga ke akhir hayat.

Bagi Norina Che Mohd Nor, 52, kesusahan hidup tidak pernah membataskannya untuk menjaga ibu saudaranya, Noriah Taib, 60, sejak lapan tahun lalu.

Katanya, sebelum ini tanggungjawab menjaga ibu saudaranya itu dipikul arwah ibunya, Norazizah Taib.

“Selepas arwah ibu meninggal dunia, hanya keluarga kami yang menjadi tempatnya bergantung dan menumpang kasih.

“Pada masa sama, saya juga tidak mahu dia hidup dalam keadaan tidak terurus kerana arwah ibu pernah berpesan supaya mengambil alih tanggungjawab menjaga ibu saudara.

“Biarpun suami dan anak saya hanya bekerja sebagai pemandu lori untuk menyara keluarga namun saya akan terus menjaga ibu saudara sebaik mungkin seperti dimahukan arwah ibu,” katanya di rumahnya, di sini, semalam.

Norina berkata, ibu saudaranya menghidap penyakit mental sejak berusia 12 tahun namun tidak pernah mengganggu sesiapa.

“Walaupun begitu, dia tidak pernah mengganggu sesiapa dan menghabiskan masa dengan berkurung di dalam bilik sepanjang hari. Dia mampu makan, minum atau mandi sendiri tanpa bantuan sesiapa.

“Ibu saudara turut mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM120 sebulan,” katanya.

Sementara itu, Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh Wan Azizi Wan Ab Ghani berkata, sehingga kini Noriah masih belum memiliki kad orang kurang upaya (OKU) dan berharap pihak berkaitan tampil membantu.

“Saya juga meminta bantuan daripada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau individu prihatin untuk membantu membina sebuah bilik air di bilik tidurnya untuk kemudahan Noriah membuang air besar atau kecil.

“Saya berharap ada pasukan perubatan yang dapat melakukan kunjungan ke rumah mereka untuk memberi rawatan kepada pesakit, selain memberi nasihat kepada keluarga mengenai penjagaan pesakit,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2017 @ 9:22am
d