mutakhir

Kerjasama UiTM, SPNB tingkat kualiti pembinaan rumah

Shah Alam: Bagi meningkatkan lagi kualiti pembinaan rumah mampu milik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengadakan kerjasama pintar dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di sini, semalam.

Kerjasama itu bertujuan menggalakkan perkongsian di dalam penyelidikan dan perancangan di samping mengadakan ruang pembelajaran kepada penuntut selain peningkatan teknologi di peringkat reka bentuk secara berterusan dalam menghasilkan produk bermutu tinggi.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Hassan Said berkata, memorandum persefahaman itu juga adalah usaha yang dijalankan kedua-dua pihak dalam menguatkan serta membangunkan bidang akademik, kebudayaan, penyelidikan dan pertukaran kakitangan di antara mereka.

“Di peringkat awal, tumpuan diberikan kepada aspek pembangunan produk di bawah SPNB Mesra Sdn Bhd, anak syarikat SPNB yang dipertanggungjawabkan melaksanakam program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M).

“Saya percaya hasil penyelidikan secara usaha sama dan berterusan ini akan memberi pulangan kepada kedua-dua pihak,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi SPNB Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Sementara itu Dr Abd Latiff berkata, UiTM akan membantu dari segi penyelidikan dan kaedah pengurangan kos supaya mewujudkan perumahan kos rendah.

Sebagai contoh katanya, kajian reka bentuk rumah yang sesuai dengan cuaca negara ini perlu diambil kira.

Menurutnya, sehingga kini 86,327 permohonan diterima antara 2002 sehingga 28 Februari lalu dan diharap gabungan kerjasama pintar itu dapat menghasilkan produk lebih berkualiti.

Disiarkan pada: April 12, 2017 @ 3:28am
d