mutakhir

'Krim' Pulau Mutiara

Oleh Shamsudin Husin

Chukai: Empat pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang melonjak gembira sambil menyifatkan perjalanan mereka sejauh beratus kilometer ke Kemaman berbaloi apabila meraih tempat pertama reka cipta pelantar minyak dalam Program Offshore Structure Modelling Competition, di sini, kelmarin.

Mereka muncul juara bagi kategori Sekolah Menengah dalam pertandingan anjuran Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kemaman.

Dalam pertandingan itu, mereka menggunakan penyedut minuman sebagai bahan asas reka cipta mengikut replika pelantar minyak setinggi satu meter sebagai panduan.

Hasil kemenangan pasukan yang diketuai Farhan Mohd Nizam, 16, Muhammad Arif Danial Rosyidi, 16, Muhammad Aiman Amir, 16, dan Muhammad Murthadha Abdullah, 16, membolehkan mereka menerima hadiah wang tunai RM500, sijil penyertaan dan pingat.

Farhan selaku ketua pasukan MRSM Balik Pulau berkata, kepenatan perjalanan jauh berbaloi dengan kemenangan ini.

Menurutnya, kemenangan itu memberi iltizam dan semangat kepada pasukannya mencipta model lain yang berkaitan proses cari gali minyak dan gas supaya lebih kompetitif dan inovatif.

Katanya, kemenangan yang diraih itu hasil kerjasama berpasukan dalam mencari idea serta perancangan untuk menghasilkan struktur pelantar minyak terbabit.

“Guru juga banyak memberi sokongan dan bimbingan sehingga terhasilnya model struktur pelantar minyak dengan menggunakan penyedut minuman,” katanya.

Empat penuntut yang mewakili KKTM Kemaman dinobatkan juara bagi kategori pusat pengajian tinggi, sekali gus membolehkan mereka meraih hadiah wang tunai RM800, sijil penyertaan dan medal.

Pasukan itu diwakili Mohd Zahin Tardmizi Shahidi, 19, Ahmad Iqbal Hasan Kashfi, 19, Nurulnadia Shahirah Hanafiah, 22, dan Muhammad Wafiy Mohd Kamal, 19.

Mohd Zahin berkata, kemenangan itu membakar semangat kepada mereka untuk mencipta teknologi baru dalam bidang berkaitan industri cari gali minyak dan gas.

“Kami akan cuba meneroka teknologi lebih canggih untuk menghasilkan model jentera yang sesuai untuk digunakan di pelantar minyak atau berkaitan industri terbabit,” katanya.

Perasmian program berkenaan disempurnakan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kemaman Idris Bidin dan turut dihadiri Pengarah KKTM Kemaman Rusli Abd Rahman.

Disiarkan pada: April 12, 2017 @ 4:18am
d