mutakhir

Pusat imarah ummah

Oleh Amir Abd Hamid dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Menyedari keperluan mendesak membantu orang Islam minoriti di Taupo, New Zealand, sebuah pusat Islam lengkap dengan masjid dirancang dibina, sekali gus menyantuni golongan Muslim di wilayah berkenaan.

Pengerusi Badan Amanah Islam dan Pembelajaran Taupo Abdul Kuddus berkata, biarpun umat Islam di negara itu minoriti, wujud keperluan membina pusat Islam dan masjid bagi keperluan pelancong Muslim.

Menurutnya, wilayah Taupo terletak di tengah-tengah bandar yang menghubungkan Auckland dan Wellington menyebabkan kedudukan itu sangat strategik.

“Setakat ini, umat Islam di Taupo tiada masjid sempurna seperti di negara Islam lain termasuk Malaysia. Kami mendirikan solat Jumaat di merata-rata tempat termasuk di motel.

“Alhamdulillah, selepas kami membeli rumah satu tingkat di Taupo, semua aktiviti masjid dilaksanakan di rumah itu termasuk solat Jumaat,” katanya.

Abdul berkata, rumah itu mampu memuatkan 50 jemaah dalam satu-satu masa dan ia tidak mampu menampung pertambahan jemaah.

Beliau berkata, rumah itu dibeli dengan nilai RM1.7 juta menerusi pinjaman daripada individu tertentu.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, kami membayar semula lebih separuh pinjaman dan hanya berbaki RM480,000 lagi. Manakala kos bulanan rumah ini RM1,200.

“Kami tiada sumber dana tetap dan semua bergantung kepada derma orang ramai termasuk rakyat Malaysia.

“Kami merancang merobohkan rumah ini dan membina semula kompleks pusat Islam di atas tanah keluasan 1,017 meter persegi ini dengan kerjasama Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care),” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Muslim Care Zakaria Abd Latif berkata, pihaknya akan membantu reka bentuk dan kutipan dana daripada rakyat Malaysia.

“Untuk tujuan itu, kami mengharapkan orang ramai menyalurkan derma menerusi akaun Muslim Care Maybank 564490413882, RHB Bank 26212000004747, Bank Islam 14014010147470 atau kepada UTM Humanitarian Mission melalui CIMB Bank 8602777801.

“Kami akan melakukan lawatan tapak di New Zealand pada Mei ini dan melihat bantuan diperlukan,” katanya.

“Pembinaan pusat Islam ini juga akan dilaksanakan secara berfasa bergantung kepada kutipan dana semasa,” katanya.

Maklumkan sumbangan menerusi mesej pesanan ringkas atau WhatsApp berkenaan sumbangan untuk Masjid Taupo kepada Johari Ismail di talian 016-9978323 atau Zakaria Abd Latiff (012-6935938).

Disiarkan pada: April 12, 2017 @ 4:21am
d