mutakhir

Melancong ke Hokkaido

Oleh Garret Dawum

Kuala Lumpur: Pakej percutian ke Hokkaido, Jepun, Oktober tahun ini membawa tuah kepada ahli perniagaan, Ng Chee Seng, 53, apabila menjadi pemenang hadiah utama cabutan bertuah Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2017.

Dia yang menempah pakej itu sempena MATTA Fair pada Mac lalu akan membawa isterinya ke London, United Kingdom dengan tiket kelas ekonomi pergi-balik untuk dua orang yang dimenangi itu.

“Saya sangat gembira dan teruja apabila menjadi pembeli bertuah sempena MATTA Fair 2017.

“Setiap kali mahu melancong, saya memang memilih untuk membeli di pameran itu kerana ada banyak pilihan destinasi pelancongan dengan harga berpatutan,” katanya, ketika ditemui selepas penyampaian hadiah MATTA Fair 2017, semalam.

Dua pemenang hadiah utama lain iaitu Wong Kim Chong, 46, memenangi tiket kelas ekonomi pergi-balik dari Kuala Lumpur ke Amsterdam, Belanda, manakala Richard Wong Chuen Fun, 58, memenangi tiket kelas ekonomi pergi-balik dari Kuala Lumpur ke Paris, Perancis.

Bagi hadiah kategori penerbangan domestik, Zura Atikah Zulkifli, 24, memenangi baucar percutian bernilai RM5,000, Mohammad Fairuz Amin, 34, memenangi baucar percutian bernilai RM3,000 dan Mohd Nizam Mat Daud, 40, menang baucar percutian bernilai RM1,000.

Selain itu, tiket pergi-balik ke beberapa destinasi, pakej penginapan, tiket masuk ke taman tema dan bufet turut diberikan kepada 179 pemenang bertuah lain.

Sementara itu, Presiden MATTA Datuk Hamzah Rahmat berkata, penganjuran yang diadakan dari 17 hingga 19 Mac lalu adalah yang terbaik dengan jumlah jualan keseluruhan iaitu RM200 juta.

Disiarkan pada: April 12, 2017 @ 4:31am
d