mutakhir

Sembilan jam pindah tiga gajah [METROTV]

Oleh Mohd Rafi Mamat

Bentong: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Lanchang mengambil masa lebih sembilan jam untuk memindahkan tiga gajah yang ditangkap di ladang getah di Kampung Telemong, Bentong, di sini, semalam.

Operasi bermula jam 11 pagi itu diketuai Pengarah PKGK, Nasharudin Othman dan 20 kakitangannya dengan dibantu dua denak iaitu Rambai dan Abot. Hujan lebat pada sebelah petang menyukarkan lagi operasi terbabit.

Nasharudin berkata, operasi menangkap kumpulan gajah berkenaan bermula pada 3 April lalu selepas menerima aduan penduduk setempat yang mendakwa haiwan terbabit memusnahkan pokok kelapa sawit mereka.

Menurutnya, selepas menceroboh ladang penduduk, kumpulan tujuh gajah yang diketuai seekor gajah betina dewasa itu bersembunyi dalam ladang getah tinggal di kampung berkenaan.

Katanya, pada operasi kali ini pihaknya berjaya menangkap seekor gajah betina dewasa berumur antara 30 hingga 40 tahun seberat tiga tan dan dua gajah jantan berumur antara enam hingga lapan tahun masing-masing seberat satu tan.

“Bulan lalu kita berjaya menangkap seekor gajah jantan dipercayai daripada kumpulan sama yang ditangkap kali ini. Saya percaya masih terdapat tiga ekor gajah yang masih terdapat dalam ladang getah terbabit.

“Operasi menangkap akan terus dilakukan bagi memastikan haiwan terbabit tidak terus memusnahkan pokok kelapa sawit milik penduduk setempat,” katanya yang sentiasa berusaha menyelesaikan masalah konflik gajah dengan manusia.

Nasharuddin berkata, operasi memindahkan tiga gajah itu menghadapi sedikit masalah kerana lokasinya terletak di atas bukit. Gajah denak terpaksa menarik gajah liar sejauh kira-kira 300 meter sebelum dapat dinaikkan ke atas lori.

Beliau berkata, pada peringkat awal pihaknya bercadang menangkap semua gajah itu dan memindahkannya secara serentak namun bagi mengelak timbulnya sebarang masalah kepada haiwan berkenaan, pihaknya mengambil keputusan untuk memindahkannya segera.

“Tiga gajah yang ditangkap itu dipindahkan ke Taman Negara Kenyir, Terengganu dan operasi menjejak serta menangkap tiga lagi haiwan berkenaan yang masih bebas diteruskan semula selepas ini.

“Saya memberi jaminan tiga lagi gajah yang masih bebas akan dapat ditangkap apabila operasi bermula kerana haiwan berkenaan masih kecil dan usaha mengesannya lebih mudah,” katanya.

Nasharuddin berkata, walaupun operasi menjejak, menangkap dan memindahkan gajah memerlukan perbelanjaan yang besar namun untuk keselamatan penduduk sekitar, ia perlu dilakukan.

Sabtu lalu akhbar ini menyiarkan laporan kejayaan PKGK Kuala Gandah menangkap dua gajah betina di Kampung Telemong, Bentong selepas operasi menjejak dan menangkap haiwan berkenaan bermula 3 April lalu.

Disiarkan pada: April 12, 2017 @ 4:38am
d