mutakhir

'Saya risau...'

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Suspek kes bunuh, Doan Thi Huong bertemu bapanya kali pertama semalam, sejak ditahan pada 15 Februari kerana didakwa membunuh warga Korea Utara Kim Jong-Nam.

Wanita warga Vietnam yang didakwa melakukan pembunuhan pada 5 April, bertemu bapanya Doan Van Thanh, 63, di penjara Kajang pagi semalam.

Van Thanh ditemani sepupu Thi Huong, Tran Huy Hoang.

Bercakap kepada media, Van Thanh berkata, anaknya bimbang dengan keselamatannya dan meminta mereka tinggal di kedutaan Vietnam sehingga kepulangan mereka ke Vietnam.

“Dia bimbangkan keselamatan bapanya. Bapanya juga tidak akan hadir ke mahkamah esok,” kata Tran yang menterjemahkan kenyataan Van Thanh.

Van Thanh dan Tran tiba di negara ini pada Isnin lalu. Mereka dijangka pulang pada Sabtu tetapi mungkin kembali ke Vietnam lebih awal selepas pertemuan dengan kedutaan dan Thi Huong pagi semalam.

Tran berkata perbelanjaan mereka dibayar oleh organisasi bukan kerajaan.

“Mereka uruskan semuanya kerana kami tidak ada wang untuk datang ke sini,” kata Tran.

Bapa Thi Huong bekerja sebagai pekerja pembersihan pasar di Vietnam. Thi Huong mempunyai empat adik-beradik dan ibunya meninggal dunia tahun lalu kerana penyakit jantung.

“Semua keluarga kami dan rakyat Vietnam tahu Thi Huong tidak bersalah kerana dia sangat baik. Kami harap Malaysia tahu yang dia tidak bersalah,” katanya.

Van Thanh dan Tran juga bertemu peguam Thi Huong, Hisham Teh Poh Teik semalam tetapi tidak boleh mendedahkan butiran pertemuan itu.

Kes itu dijangka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi esok.

Disiarkan pada: April 13, 2017 @ 5:33am
d