mutakhir

Tangkap seorang dapat dua lagi

Bagan Serai: Kejayaan penduduk menangkap seorang daripada tiga kumpulan lelaki memecah masuk rumah penduduk di Taman Piandang Indah, Tanjung Piandang, Sabtu lalu, membawa kepada penahanan dua lagi suspek.

Dalam kejadian jam 3 pagi, suspek berusia 24 tahun ditangkap selepas penduduk di sekitar taman perumahan itu menyedari kejadian lalu menahan suspek dan menyerahkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, susulan penangkapan suspek, soal siasat dijalankan dan beberapa jam selepas itu, polis menahan dua lagi rakan suspek termasuk bapa saudaranya yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian terbabit.

Katanya, operasi diketuai Pegawai Risikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian Inspektor Ashazarul Khairi Ab Hamid bersama beberapa anggota Balai Polis Tanjung Piandang mengesan dua suspek di kediaman mereka di Kuala Kurau.

“Suspek berusia 24 tahun mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan pergaduhan. Suspek juga mengaku terbabit dalam tiga siri kejadian pecah rumah di sekitar Kuala Kurau dan Tanjung Piandang yang dilaporkan sebelum ini.

“Ujian air kencing dijalankan polis terhadap ketiga-tiga suspek menunjukkan mereka positif syabu,” katanya dalam sidang media di IPD Kerian, di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 448, Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dalam sidang media itu, wartawan sambilan Harian Metro Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi menerima sijil penghargaan sempena Hari Polis.

Disiarkan pada: April 13, 2017 @ 6:19am
d