mutakhir

Tuah wajah seiras Rossi

Kuala Lumpur: “Dia terkejut, saya pun terkejut,” itu kata Muhammad Izwan Kamal, 25, apabila bintang Moto GP, Valentino Rossi, memeluknya selepas mendapati wajah mereka seiras ketika sesi autograf di Litar Sepang, Oktober tahun lalu.

Mengimbas semula kejadian itu, Muhammad Izwan berkata, itu adalah kenangan manis dalam hidupnya kerana Rossi sanggup bangun memeluknya dan meminta untuk merakam gambar bersama.

Menurut Muhammad Izwan, sesi autograf itu tidak membenarkan peminat bergambar bersama pelumba Moto GP, namun dia antara yang bertuah kerana dipilih juara dunia sembilan kali itu untuk bergambar.

“Dia terkejut dengan penampilan dan wajah saya sama seperti dia, saya juga terkejut kerana dia bangun dan memeluk lalu meminta untuk bergambar.

“Sebelum ini ramai yang mengatakan wajah saya mirip Rossi, tetapi menafikannya, apabila saya mengubah penampilan seperti Rossi sejak empat tahun lalu, ya memang ada sedikit sama,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya yang berasal dari Sitiawan Perak, dia juga mempunyai minat mendalam dalam sukan permotoran sejak di bangku sekolah dan mempunyai kafe dengan nama ‘46 Fans Cafe’ di Subang Jaya sejak setahun lalu.

Katanya, kafe berkonsepkan peminat Rossi 46 itu, disertai dengan trak makanan barat khususnya dari Itali, selain mempamerkan sebuah motosikal berkuasa tinggi mirip kepunyaan Rossi.

Gambar Muhammad Izwan dan Rossi menjadi tular di laman sosial selepas dikongsi netizen kerana mempunyai wajah seiras.

Disiarkan pada: April 13, 2017 @ 6:22am
d