mutakhir

Tampil lunas

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Seramai 1.3 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) sudah dan sedang membayar pinjaman masing-masing sehingga Januari lalu, membabitkan kutipan RM10.9 bilion.

Timbalan Ketua pegawai Eksekutifnya Mastura Mohd Khalid berkata, PTPTN sepatutnya mengutip RM18.8 bilion daripada 1.9 juta peminjam secara keseluruhannya, namun berharap jumlah kutipan dapat terus ditingkatkan pada masa depan.

“Setakat ini jumlah kutipan pembayaran balik pinjaman PTPTN semakin meningkat dan saya berharap 1.3 juta peminjam yang sudah melaksanakan tanggungjawab ini terus berbuat demikian sehingga selesai.

“Saya juga berharap peminjam yang belum melaksanakan tanggungjawab dapat berbuat demikian (membayar balik pinjaman) bagi memudahkan PTPTN meneruskan pembiayaan pendidikan kepada generasi masa hadapan,” katanya pada sidang media pada sesi Perbincangan Meja Bulat PTPTN bersama Majlis Profesor Negara (MPN) di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MPN Prof Datuk Dr Raduan Che Rose dan Timbalan Presiden MPN Prof Dr Kamaruddin Md Said.

Selain itu, Mastura berkata, sehingga akhir Februari lalu, PTPTN sudah memberi pengecualian pembayaran kepada 42,425 peminjam yang mendapat kelas pertama di institusi pengajian tinggi berjumlah RM1.26 bilion sebagai motivasi kepada penuntut.

Sementara itu, sesi perbincangan meja bulat itu diadakan bertujuan mendapatkan input dalam kalangan peserta bagi memastikan kelestarian pembiayaan pendidikan tinggi dapat memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini.

Selain meleraikan kekeliruan masyarakat berkaitan isu pinjaman dan bayaran balik pinjaman, perbincangan juga menjadi medan untuk berkongsi maklumat serta mendapatkan pandangan serta idea baru untuk penambaikan PTPTN.

Mastura berkata, perbincangan serta kerjasama ini dapat memantapkan lagi operasi serta dasar yang dilaksanakan PTPTN, di samping mengambil pandangan daripada pelbagai pihak sebelum melaksanakan sesuatu tindakan.

“Melalui perbincangan ini majoriti peserta menyokong aktiviti penabungan pendidikan perlu dilakukan dan dirancang di peringkat awal supaya peminjam tidak bergantung kepada pinjaman PTPTN semata-mata untuk melanjutkan pengajian pada masa depan.

“Cadangan lain yang turut diusulkan dalam perbincangan itu termasuk menukar pengecualian pembayaran peminjam yang mendapat kelas pertama kepada pelajar cemerlang dari segi akademik, kokurikulum serta pencapaian lain yang diperoleh mereka sepanjang mengikuti pengajian di universiti,” katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2017 @ 3:04am
d