mutakhir

Kontraktor lembap

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Bukit Kayu Hitam: Kerajaan mengarahkan projek pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) baru, di sini, dipercepatkan bagi memenuhi Dasar Logistik Negara termasuk menjadikan Malaysia hab logistik bersepadu dan pintu masuk perdagangan ke rantau Asia Tenggara.

Ia berikutan kegagalan kontraktor yang dilantik dalam menyiapkan projek kompleks seluas 29.9 hektar berkenaan mengikut tempoh masa ditetapkan sehingga terlewat selama 576 hari sejak fasa pertama dimulakan pada Jun 2014.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerajaan memandang serius kelewatan itu memandangkan Thailand sudah menyiapkan pembinaan kompleks sama di kawasan mereka.

Katanya, pada masa sama, timbul masalah pergerakan keluar dan masuk kenderaan perdagangan dan persendirian menyebabkan kesesakan sehingga empat kilometer di kompleks sedia ada pada waktu puncak.

“Pembinaan ICQS ini perlu dipercepatkan sebagai mana arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam memenuhi Dasar Logistik Negara iaitu meningkatkan peranan negara dalam sistem logistik negara-ASEAN khususnya Segi Tiga Pertumbuhan-Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT).

“Saya akan datang semula dalam masa 45 hari lagi untuk melihat kemajuan projek ini. Perkembangan projek ini harus dikemukakan kepada saya untuk dimaklumkan kepada Perdana Menteri selaku Pengerusi Majlis Ekonomi Negara dan Majlis Eksport Negara bagi melihat keberkesanan ICQS di Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) selepas melakukan lawatan ke tapak projek pembinaan bersepadu ICQS, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

Ahmad Zahid berkata, ketika ini fasa pertama pembinaan kompleks baru itu menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) pada tahap 45.9 peratus dan mahu ia disiapkan selewat-lewatnya Ogos depan.

Katanya, sepanjang Ogos juga beberapa ujian akan dilaksanakan ke atas laluan yang digunakan kenderaan membawa barangan masuk ke Malaysia.

“Fasa kedua pula akan dilaksanakan dan projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 31 Disember 2018.

“Apabila kedua-dua fasa projek dengan kos RM425 juta ini siap, kita berharap pada 2019, kita akan dapat terjemahkan keseluruhan dasar ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan berharap pembinaan ICQS memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara khususnya dalam meningkatkan kutipan cukai kastam ke atas barang dagangan yang kini bernilai RM600 juta setahun.

“Kerajaan turut berharap kemasukan pelancong yang lebih tinggi berbanding ketika ini jumlah keluar masuk pelancong dan orang perseorangan seramai 3 juta orang setahun,” katanya.

Dalam acara berasingan selepas itu, Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Pertahanan Thailand, General Udomdej Sitabur bagi berbincang cadangan pelaksanaan lanjutan tempoh operasi ICQS di Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar kepada 24 jam berbanding 18 jam ketika ini.

Disiarkan pada: April 14, 2017 @ 3:51am
d