mutakhir

Keperitan 3 tahun berakhir

Klang: “Sepanjang tiga tahun lalu, kami tinggal di rumah yang kurang sempurna, kini saya dan anak-anak dapat merasai kehidupan yang lebih baik,” kata Hairul Nizam Abd Kahar, 34.

Semalam, bapa kepada empat anak itu menerima sebuah rumah baru menerusi projek Rumah Baiti Jannati oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Perepat, Kapar.

Menurut Hairul Nizam yang juga tukang kebun, dia bersyukur keperitan ditempuh keluarganya berakhir dengan penyerahan rumah berkenaan.

“Sebelum ini rumah kami sering dilanda banjir, malah pernah dimasuki haiwan berbisa. Berikutan itu, saya membuat permohonan membina rumah dan tidak sangka ia diterima, sekali gus membolehkan kami menikmati kehidupan lebih selesa,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan (Senggaraan) dan Kejuruteraan Stesen Janaelektrik Jambatan Connaught Klang Muhamad Anuar Abd Rahman berkata, rumah berkenaan lengkap dengan ruang tamu dan tiga bilik tidur.

“Setiap tahun, TNB membantu sekurang-kurangnya dua keluarga asnaf bukan saja di Selangor malah di setiap negeri.

“Bagi negeri ini, senarai asnaf diperoleh daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) selain maklumat awam,” katanya.

Menurutnya, pemohon perlu mempunyai tanah sendiri bagi mengelak timbul sebarang isu apabila ia siap dibina.

Disiarkan pada: April 14, 2017 @ 3:52am
d