mutakhir

'Saya tak mahu susahkan nenek lagi'

Tumpat: Ketika pesakit kanser lain mempunyai ahli keluarga untuk menguruskan keperluan mereka, seorang remaja yang menghidap barah hidung terpaksa menguruskan dirinya sendiri termasuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Muhammad Danial Abdullah, 18, dijaga neneknya yang usianya hampir seabad dan wanita kesayangannya itu sudah tidak mampu menguruskan sepenuhnya keperluan dia serta membawanya ke hospital.

Disebabkan itu, dia yang menamatkan persekolahan di tingkatan empat melakukan semua perkara sendirian dan akan menumpang jiran serta menaiki pengangkutan awam jika mempunyai temu janji dengan pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

“Saya tidak mahu susahkan nenek untuk menemani saya ke mana-mana kerana keadaan dirinya yang uzur. Jadi, saya usahakan sendiri walaupun sakit begini. Alhamdulillah, kami hidup dengan pencen arwah datuk sebanyak RM800 sebulan,” katanya.

Muhammad Danial berkata, neneknya, Timah Deris, 80, menjaganya sejak kecil, malah tidak pernah meninggalkannya terutama selepas ibu bapanya bercerai beberapa tahun lalu.

Dia dilahirkan tanpa penyakit serius sehingga usia 11 tahun apabila dikesan mempunyai ketulan di hidung yang menyebabkan kerap berdarah.

Sementara itu, Timah berkata, dia terlalu sayangkan cucunya dan bersedia mengambil alih tempat Muhammad Danial jika diizinkan Allah kerana tidak sanggup melihat penderitaannya.

Disiarkan pada: April 14, 2017 @ 3:59am
d