mutakhir

Azab sejurus lahir

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

Bukit Mertajam: Walaupun baru berusia empat bulan, menghidap masalah jantung, mengalami bengkak buah pinggang dan jangkitan kuman di paru-paru sejak dilahirkan cukup menggambarkan penderitaan ditanggung seorang bayi.

Ibunya, Zanariah Wahab, 43, berkata, kesan kompilasi penyakit berkenaan membuatkan anak bongsu daripada lima beradik itu, Nur Anis Umairah Hussin perlu menggunakan tiub di dalam mulut setiap masa akibat saluran pernafasannya menjadi sempit selain perlu mengawasinya setiap masa.

Dia berkata, tiub disalurkan ke dalam mulut itu bertujuan memudahkan usaha menyalurkan makanan iaitu susu khas ke dalam perut Nur Anis Umairah.

“Keadaan tiub sentiasa berada dalam mulut membuatkannya sering berasa tidak selesa dan tiub perlu digunakan dalam jangka masa enam atau tujuh bulan lagi sehingga doktor pakar mengenal pasti punca sebenar sakit dialami anak saya.

“Malah, keadaan kesihatan Nur Anis Umairah tidak menentu seperti sering batuk dan lain-lain lagi membuatkan kami kerap membawanya ke hospital berdekatan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Pauh Damai, Jalan Permatang Pauh di sini, kelmarin.

Zanariah berkata, dia turut mendapat latihan daripada pihak hospital memandangkan tiub digunakan di dalam mulut anaknya mudah terdedah kepada jangkitan kuman dan perlu ditukar seminggu sekali selain perlu menggunakan stetoskop untuk memeriksa keadaan dalaman perut sebelum memberikan susu khas.

Menurutnya, bukan itu saja, tahap penjagaan anaknya begitu sensitif hingga perlu dijauhkan daripada asap rokok serta asap daripada ‘fogging’ dan perlu berada dalam persekitaran rumah bersih dan tidak berbau busuk.

“Memang rumit untuk menjaganya, malah susu khas berharga RM50 setin seberat 400 gram (g) hanya mampu bertahan seminggu dan itu sudah pasti memerlukan kewangan tinggi termasuk kos perbelanjaan harian lain.

“Suami, Hussin Chik, 50, yang bekerja sebagai operator kilang hanya mampu memperoleh pendapatan kasar lebih RM1,000 dan tidak memadai bagi menyara dua anak lain yang masih bersekolah,” katanya yang perlu membayar sewa rumah RM263 sebulan.

Mereka yang mahu meringankan beban ditanggung keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun RHB (1-07158-0017513-8) atas nama Zanariah Wahab atau menghubunginya di talian 019-4097642.

Disiarkan pada: April 14, 2017 @ 4:00am
d