mutakhir

Rosmah lancar buku TSSG bantu proses pemulihan OKU

Petaling Jaya: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor melancarkan buku Therapeautic Sensory Stimulation Garden (TSSG): An Introduction by BAKTI-MIND Project (Taman Stimulasi Deria Terapiutik: Pengenalan Projek BAKTI-MIND) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.

Buku hasil tulisan mantan Ketua Unit Pemulihan Perubatan PPUM Datuk Dr Zaliha Omar dan Pereka Lanskap Hazreena Hussein itu adalah projek di bawah Rangkaian Maklumat Orang Kurang Upaya (MIND) yang mampu menjadi alternatif membantu proses pemulihan orang kurang upaya (OKU) di negara ini.

Pengarah PPUM Prof Dr Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol berkata, buku terbabit menerapkan konsep penggunaan lapan deria iaitu lima deria konvensional dan tiga deria supra.

“Ia membantu proses pemulihan pesakit OKU melalui pengalaman dalam taman yang direka khas, Taman Stimulasi Deria Terapiutik (TSSG) untuk memberi stimulasi pelbagai deria.

“Kami teruja dengan hasil kerja Ketua Jabatan Perubatan Pemulihan dan pasukannya dalam memastikan taman rangsangan deria ini dapat digunakan sebagai alternatif kepada aktiviti pemulihan pesakit OKU di PPUM,” katanya pada majlis perasmian buku berkenaan.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pentadbir Bangunan BAKTI Siti Hasmah, Toh Puan Dr Aishah Ong dan Pengerusi Lembaga Pengurus PPUM Datuk Seri Mohamad Othman Zainal Azim.

Terdahulu Rosmah yang yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) menghabiskan masa 40 minit melawat Taman TSSG yang terletak di aras enam hospital berkenaan.

Disiarkan pada: April 14, 2017 @ 4:06am
d