mutakhir

Kejutan 4 das tembakan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: “Kami yang sedang menjamah makanan di gerai terkejut sejurus mendengar bunyi empat das tembakan. Salah satu tembakan itu mengenai dada salah seorang penjenayah,” ujar saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Ina, 40.

Dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, sekumpulan penjenayah dikejar anggota polis sehingga sampai ke Blok A, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Kepong, di sini.

Ina yang juga salah seorang penghuni PPR berkenaan berkata, ketika kejadian dia bersama ahli keluarga yang lain sedang menikmati makan malam
di sebuah gerai berhampiran sebelum terdengar bunyi tembakan.

“Saya terdengar empat kali tembakan dilepaskan sebelum bergegas ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, saya melihat tiga lelaki ditahan polis, manakala seorang lagi terbaring kerana cedera di dada dipercayai akibat terkena tembakan.

“Orang ramai mula memenuhi tempat itu untuk mengetahui apa yang berlaku sebelum pihak polis menutup sekitar kawasan itu dan mengarahkan orang awam tidak menghampiri lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui Harian Metro di lokasi kejadian.

Sementara itu sumber polis berkata, pihak polis terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki empat penjenayah yang cuba melarikan diri sebaik terserempak dengan anggota polis sedang membuat rondaan cegah jenayah
di hadapan blok bangunan PPR berkenaan.

Katanya, anggota polis mengesan kehadiran kereta itu yang berkeliaran
di kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian memecut kenderaan dan merempuh kereta polis selain melanggar beberapa kenderaan penghuni PPR lain dalam usaha melarikan diri.

“Tindakan suspek menyebabkan anggota polis bertugas terpaksa melepaskan empat das tembakan dan salah satu tembakan mengenai salah seorang suspek,” katanya.

Sumber berkata, suspek yang cedera dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan manakala tiga lagi suspek berusia 20-an ditahan bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki suspek menemui topi keledar tutup muka penuh dan tukul besi yang diletakkan di bahagian bonet kereta itu.

“Siasatan awal mendapati suspek berada di lokasi kejadian dipercayai sedang melakukan ‘rondaan’ sebelum mahu mencari mangsa untuk menyamun. Semakan rekod mendapati suspek mempunyai waran tangkap selepas dipercayai terbabit dalam kes samun dan bunuh,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul, R Munusamy yang dihubungi mengesahkan pihaknya masih menyiasat identiti semua suspek terbabit.

Disiarkan pada: April 15, 2017 @ 6:35am
d