mutakhir

Tubuh luka, motor hangus

Oleh Aizat Sharif

Alor Setar: Cubaan seorang lelaki menceroboh rumah berakhir tragedi apabila dia dibelasah manakala motosikalnya dibakar pemilik kediaman itu di Taman Angsana, Pokok Sena, di sini, semalam.

Kejadian berlaku sekitar jam 11 malam apabila suspek berusia 21 tahun itu menunggang motosikal di sekitar taman perumahan berkenaan sebelum berhenti di hadapan sebuah rumah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, ketika itu pemiliknya yang juga seorang lelaki berusia 32 tahun berada sendirian di rumah itu.

“Suspek yang mendapati pagar depan tidak berkunci terus masuk ke pekarangan rumah dan cuba membuka pintu sebelum disedari tuannya.

“Lelaki itu yang ternampak kelibat suspek terus menjerit sebelum mengejarnya,” katanya, semalam.

Mohd Rozi berkata, suspek yang panik cuba melarikan diri namun ditangkap pemilik rumah tidak jauh dari tempat kejadian selepas berlaku pergelutan antara mereka.

“Suspek ditahan dan dibelasah oleh mangsa, malah turut membakar motosikal Yamaha LC milik lelaki itu yang diletakkan tidak jauh dari rumahnya akibat terlalu marah.

“Mangsa ditenangkan penduduk setempat dan suspek yang cedera di badan dan tangan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya.

Disiarkan pada: April 15, 2017 @ 6:38am
d