mutakhir

Jaga dalang utama curi besi

Oleh Azahar Hashim

Kulim: Tindakan seorang pengawal keselamatan yang menjadi dalang utama kes kecurian besi pemampat dari sebuah kilang papan di Padang Serai bersama lapan rakannya mengundang padah apabila mereka ditahan polis Rabu lalu dalam Ops Pintu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim Deputi Superintendan Baruddin Wariso berkata, pemilik kilang papan terbabit membuat laporan polis pada 10 April lalu mengenai 42 kepingan besi pemampat papan yang disimpan dalam stor hilang.

Katanya, pemilik kilang terbabit turut memaklumkan 20 buah motor mesin buatan Jepun, tujuh tan kerangka besi buatan Jepun, lima tong nat mesin dan tiga buah koil motor mesin buatan Jepun hilang membabitkan nilai keseluruhan RM100,000.

“Sebaik menerima laporan itu, kita mengadakan Ops Pintu dan berjaya menahan ketuanya bersama lapan lelaki berusia 24 hingga 45 tahun kira-kira jam 3.30 pagi di sekitar Padang Serai dan Butterworth, Pulau Pinang.

“Suspek yang ditahan itu terdiri suspek kes pecah kilang dan pembeli barangan curi selain kita turut menemui semula kepingan besi pemampat yang dilaporkan hilang dari kilang terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, di sini, semalam.

Baruddin berkata, pihaknya menemui semula 38 besi pemampat dari dua kedai barangan lusuh iaitu 11 keping di Butterworth dan 27 keping di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Hasil siasatan ke atas suspek mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau termasuk seorang pengawal keselamatan berusia 24 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah lampau,” katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2017 @ 8:23am
d