mutakhir

Jodoh dah tertulis [METROTV]

Oleh Nor 'Asyikin Mat Hayin

Kajang: “Saya tidak kisah latar belakang isteri kerana yang penting dia mempunyai akhlak tinggi.

“Status sosial bukan ukuran kerana nilai di sisi Allah itu lebih utama,” kata Mohd Adib Masjuki, 24.

Mohd Adib adalah seorang daripada sembilan pasangan pengantin penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) yang diraikan dalam majlis mereka di Kampung Sungai Ramal Dalam, di sini, semalam.

Dia yang juga anak kepada pengasas utama RPWP Dr Masjuki Mohd Musuri mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bio Perubatan Universiti Malaya.

Mohd Adib memilih Marsya Nur Irdina Mohd Nazir, 15, yang menghuni RPWP sejak kecil sebagai isterinya.

Pusat itu menempatkan anak yatim, orang kurang upaya, anak tidak sah taraf, asnaf fakir, remaja rosak akhlak dan warga emas.

Menurutnya, dia gembira memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga sejak mendirikan rumah tangga, Januari lalu.

“Cuma saya perlu lebih banyak bersabar dan bertoleransi lebih-lebih lagi isteri baru berusia 15 tahun.

“Walaupun isteri muda, tetapi dia matang dan dapat menguruskan rumah tangga dengan baik,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan RPWP menjadi medan pertemuan jodoh kepada tujuh pasangan penghuninya apabila mereka disatukan sebagai suami isteri dan dinikahkan secara beramai-ramai pada 27 Januari lalu.

Perkenalan dan pernikahan itu diaturkan ibu bapa angkat yang menjaga mereka di pusat berkenaan.

Meskipun mereka sudah berumah tangga tetapi rutin sebagai penghuni RPWP iaitu pelajar, kakak dan abang kepada penghuni lain dan pekerja diteruskan namun tanggungjawab kepada suami serta isteri tetap diutamakan.

Semua suami pasangan itu bekerja di RPWP sebagai sukarelawan sepenuh masa di pelbagai sektor yang bersesuaian dengan kemahiran masing-masing.

Masjuki berkata, majlis kali kelima diadakan RPWP itu dianggap paling unik kerana menggunakan lebih 200 kontena terpakai yang dijadikan sebagai kanopi bagi menempatkan lebih 10,000 tetamu.

“Majlis ini akan menjadi acara tahunan RPWP dan sehingga kini menyatukan 15 pasangan penghuni berkenaan sebagai suami isteri sejak 2012,” katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2017 @ 9:46am
d