mutakhir

Simpan 240 video Daish

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Kota Tinggi: Seorang pekerja am sebuah resort dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan memiliki 29 imej dan 240 video berkaitan kumpulan pengganas Daish dalam telefon bimbit, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Firdaus Saibi, 24, faham akan pertuduhan terhadapnya sejurus dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan. Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki 29 imej dan 240 video di dalam telefon bimbit Samsung yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daish atau yang mempunyai unsur perbuatan keganasan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah resort di Kampung Sedili Kechil di sini, kira-kira jam 4.20 petang, 21 Mac lalu. Dia didakwa mengikut perenggan Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item berkenaan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafi’uddin bagaimanapun memohon tarikh sebutan semula sementara mendapatkan laporan pakar dan izin untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Mei depan untuk sebutan semula bagi izin memindahkan kes dan lantikan peguam.

Disiarkan pada: April 18, 2017 @ 3:43am
d